JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Pekerja Melecur Bot Meletup Ketika Selenggara

27/12/2025 06:46 PM

GEORGE TOWN, 27 Dis (Bernama) -- Dua lelaki melecur selepas bot yang sedang diselenggara tiba-tiba terbakar dalam kejadian di kawasan parkir darat di Jalan Pasir Belanda, Teluk Kumbar, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.58 tengah hari sebelum bomba dihantar ke lokasi.

"Anggaran peratusan kemusnahan sebanyak 50 peratus dan terdapat dua mangsa terlibat dalam kejadian itu. Dua pekerja berusia 26 dan 40 tahun itu masing-masing melecur tahap satu di kepala dan tangan.

"Kerja-kerja pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

John berkata berdasarkan maklumat awal, bot itu sudah lama diparkir di kawasan berkenaan dan semasa proses memasang bateri berlaku percikan api sebelum menyambar lebihan minyak yang berada berdekatan.

Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 1.27 tengah hari dan kerja-kerja 'overhaul' selesai dijalankan kira-kira sejam kemudian, manakala kedua-dua mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di lokasi kejadian, sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan