AM

Projek Akuakultur, Hidroponik Sejati MADANI Tingkat Ekonomi Penduduk Kampung Tamui

29/12/2025 11:11 AM

Oleh Rohana Nasrah

PAPAR, 29 Dis (Bernama) -- Projek ternakan ikan tilapia merah dan tanaman salad hidroponik oleh Komuniti Usahawan Kampung Tamui di sini bukan sahaja mengangkat martabat ekonomi setempat, malah menggalakkan gaya hidup proaktif dan lestari dalam kalangan penduduk luar bandar.

Kedua-dua projek yang diusahakan sejak Ogos tahun lepas menerusi inisiatif Program Sejahtera Komuniti (SejaTI) MADANI itu berjaya mempromosi amalan pengurusan perikanan dan pertanian mesra alam meskipun dilaksanakan dalam skala kecil, sekali gus memperkasakan kesedaran mengenai keselamatan makanan.

Komuniti yang dianggotai 11 individu termasuk sembilan wanita berumur 40 hingga 63 tahun, menyifatkan projek itu sebagai "taman terapi minda" yang mampu meningkatkan motivasi dan produktiviti ke arah mentransformasi ekonomi desa serta merapatkan jurang pendapatan.

Bercakap kepada Bernama, Pengerusi Komuniti Usahawan Kampung Tamui Hamidah Abdullah berkata projek ternakan tilapia merah dalam kolam simen dan tanaman salad hidroponik itu sudah mula membuahkan hasil dengan tuaian serta jualan pertama dibuat pada April lepas.

“Projek ternakan ikan tilapia merah ini dimulakan dengan 3,000 benih ikan. Kami sudah mula menjual lebih kurang 60 kilogram ikan pada harga RM16 sekilo. Permintaan sangat menggalakkan terutama dalam kalangan peniaga dan penduduk setempat.

“Pelanggan akan datang membeli di sini atau kami akan hantar tempahan kepada mereka,” katanya yang turut merancang mengembangkan lagi potensi perniagaan menerusi ternakan ikan keli dalam tempoh terdekat dengan 200 benih ikan sebagai permulaan.

Mengakui tidak mempunyai kepakaran menternak ikan air tawar, Hamidah menyertai kursus latihan bagi memahami setiap sudut teknikal dan pengurusan ternakan ikan air tawar dalam kolam simen secara efisien merangkumi aspek penjagaan serta pemakanan bagi memastikan hasil berkualiti tinggi.

“Ada empat kolam disediakan untuk menjalankan projek ternakan ikan tilapia merah ini. Dua kolam kecil dan dua lagi kolam besar. Kolam kecil dikhususkan untuk anak benih ikan sehingga mencapai tempoh matang tiga bulan sebelum dipindahkan ke kolam besar. Setiap kolam ada 1,000 ekor ikan,” jelasnya.

Hasil tanaman salad hidroponik tidak kurang hebatnya apabila penjual memborong sayuran hijau itu sehingga lima kilogram pada harga RM15 sekilogram dan pihaknya merancang untuk membesarkan projek tersebut daripada 580 pot kepada 1,000 pot bagi memenuhi permintaan.

“Susun atur tempat letak tanaman juga akan diubah menjadi bertingkat agar mudah dituai dan dijaga serta dapat menempatkan lebih banyak tanaman salad,” katanya sambil menjelaskan mereka memilih projek ternakan ikan air tawar dalam kolam simen dan tanaman salad hidroponik kerana mudah dikendalikan.

Sementara itu, ahli komuniti Rusmineh Madisim, 53, berkongsi rasa gembira dan seronok menyertai projek tersebut kerana dapat menambah pendapatan serta berpeluang mempelajari ilmu baharu khususnya kaedah penanaman sayur secara hidroponik.

“Saya juga menjual salad yang ditanam di sini di pasar tamu setiap Khamis. Satu ikat 300 gram dijual pada harga RM5. Memang banyak sambutan,” katanya sambil berharap program menjana ekonomi desa seumpama itu diperluas kerana memberi banyak manfaat kepada penduduk.

Bagi pesara kerajaan Junaidah Abdullah, 63, tanaman salad hidroponik itu wajar dikembangkan kerana mampu memberikan pulangan lumayan, selain mudah dijaga serta tidak bergantung pada penggunaan baja kimia yang tidak baik untuk kesihatan.

Martin Edwin, 53, pula berpendapat program itu memberikan ruang kepada ahli komuniti berkongsi pengetahuan dan dalam masa sama merupakan platform terbaik untuk membantu penduduk menjana pendapatan sampingan.

Dengan pemberian dana hingga RM100,000, program Sejati MADANI yang diperkenalkan pada 2024 bertujuan memacu ekonomi komuniti bagi meningkatkan pendapatan rakyat selaras kerangka Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan