KUALA TERENGGANU, 29 Dis (Bernama) -- Seorang pekerja kedai roti kerugian RM27,147 selepas ditipu sindiket kerja sambilan tidak wujud, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata wanita 30 tahun itu dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil platform e-dagang popular.
“Suspek memaklumkan mangsa terpilih sebagai pemenang satu peraduan dan ditawarkan membuat kerja sambilan ‘like’ dan ‘view’ hantaran di laman sosial Instagram dengan bayaran lumayan.
“Namun mangsa perlu membuat bayaran untuk mendapatkan tugasan dengan semakin banyak bayaran dibuat, semakin banyak tugasan dan keuntungan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata mangsa membuat lapan bayaran ke akaun berbeza menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan serta keluarga dari 26 hingga 28 Dis.
Mangsa bagaimanapun curiga apabila suspek mendesaknya terus membuat pembayaran sedangkan tiada keuntungan diperoleh menyebabkan dia membuat laporan polis petang semalam.
Azli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran kerja sambilan yang mudah dengan keuntungan lumayan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial