JENAYAH & MAHKAMAH

Geng Rusaboy Lumpuh, 17 Ditahan Dalam Ops Tiga

29/12/2025 03:18 PM

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan kumpulan jenayah terancang Geng Rusaboy yang aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan di Kedah dan Pulau Pinang dengan penahanan 17 anggotanya menerusi Ops Tiga.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata operasi hasil kerjasama JSJ Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kedah dan Cawangan Khas Bukit Aman menahan semua suspek lelaki berusia antara 24 hingga 42 tahun dari 27 Nov hingga 4 Dis.

“Kumpulan ini dianggotai kira-kira 35 orang yang dipimpin lelaki tempatan dikenali sebagai Rames dan aktif di Sungai Petani, Kulim serta beberapa lokasi di Pulau Pinang.

“Mereka dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan, mendatangkan kecederaan parah, bunuh dan pengedaran dadah selain meminta wang perlindungan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Kumar berkata polis kini giat mengesan saki baki anggota kumpulan itu termasuk Rames, 36, yang dipercayai masih berada dalam negara.

Beliau berkata setiap anggota mempunyai peranan khusus termasuk pasukan serangan, kutipan kewangan dan pengedaran dadah dengan kumpulan itu juga aktif merekrut ahli baharu termasuk individu dari luar kawasan.

Selain itu, Kumar berkata kumpulan itu dipercayai terlibat dalam dua kes bunuh pada 2024 melibatkan serangan menggunakan senjata tajam yang berkemungkinan berpunca daripada perebutan kawasan.

Berhubung 17 suspek ditahan, Kumar berkata semakan awal mendapati semua mereka mempunyai rekod jenayah lampau seperti kes bunuh, rompakan berkumpulan bersenjata api, mendatangkan kecederaan parah dan pengedaran dadah.

“Tujuh daripada mereka pernah ditahan pada 2020 di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan (menjadi anggota jenayah terancang) dan disabitkan kesalahan serta dihukum penjara lima tahun. Mereka dibebaskan pada Januari 2024 dan kembali aktif dalam jenayah,” katanya.

Kumar berkata mereka yang ditahan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan dijadualkan dituduh di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah pada esok.

Beliau berkata JSJ juga mengenal pasti beberapa kumpulan jenayah lain dengan polis kini agresif menjejaki kumpulan berkenaan.

Beliau turut meminta orang ramai tidak menyertai mana-mana kumpulan sedemikian untuk mengelak daripada tindakan undang-undang.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan