JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Sembilan Individu Disyaki Terlibat Kes Gaduh Berkumpulan Di Port Dickson

30/12/2025 12:38 PM

SEREMBAN, 30 Dis (Bernama) -- Polis menahan sembilan individu yang disyaki terlibat dengan kes pergaduhan berkumpulan bersenjata di Lukut, Port Dickson, Sabtu lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kesemua lelaki berusia lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan di sekitar Port Dickson dengan tangkapan pertama dalam tempoh 24 jam manakala bakinya pada keesokan hari serta semalam.

“Kita masih memburu seorang lagi suspek berhubung kes itu dan sekiranya ditahan kita percaya semua individu dikehendaki berjaya ditangkap.

“Sebahagian daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau. Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan mengikut Seksyen 326/427 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasukan Tindak Balas Bencana Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua empat mangsa yang saling mengenali termasuk seorang kanak-kanak yang cedera akibat kejadian itu sedang menerima rawatan di hospital dan dilaporkan stabil.

Dalam perkembangan lain, Alzafny berkata polis masih menyiasat motif sebenar berhubung kejadian letupan disyaki menggunakan bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) di kawasan Desa Palma, Nilai pada 22 Dis lepas.

"Suspek lelaki berusia 62 tahun sebelum ini dirawat di Zon Merah Hospital Tuanku Ja’afar dan difahamkan telah berpindah wad. Pasukan soal siasat kita memang sentiasa berada di sana untuk mendapatkan keterangannya,” katanya.

Beliau berkata Unit Pemusnah Bom telah mengesahkan kejadian letupan berkenaan berpunca daripada kesilapan pengendalian bahan letupan dan suspek dipercayai bergerak secara bersendirian dengan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sebelum ini, Alzafny berkata suspek ditahan di Batang Benar, Nilai pada 4.15 petang dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan serta kaki dan ditahan reman selama seminggu hingga 3 Jan.

Sementara itu, beliau berkata sembilan individu termasuk seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an ditahan bagi membantu siasatan kes pergaduhan di sebuah pasar raya di Nilai kira-kira 1 pagi pada Ahad lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Alzafny berkata penubuhan Pasukan Tindak Balas Bencana yang dianggotai seorang pegawai dan empat anggota itu bertujuan memperkukuh keupayaan bertindak pantas dalam situasi kecemasan dan bencana.

“Walaupun terdapat agensi lain seperti bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan ini ditubuhkan bagi membolehkan kita melaksanakan bantuan awal sementara menunggu pasukan penyelamat utama tiba,” katanya sambil menambah keanggotaan pasukan akan ditambah dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan