AM

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Ucapan Selamat Tahun Baharu 2026

31/12/2025 09:58 AM

KUANTAN, 31 Dis (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan  Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu 2026 kepada seluruh penduduk Pahang dan rakyat Malaysia amnya.

Sempena kehadiran tahun baharu ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mendoakan agar seluruh rakyat sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kesihatan yang baik, keselamatan, serta kehidupan harmoni dan sejahtera. 

“Mudah-mudahan tahun 2026 membawa sinar harapan baharu, kekuatan semangat dan kejayaan dalam setiap cabaran kehidupan yang dilalui,” titah baginda berdua menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang. 

Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar rakyat terus bersatu padu, saling menghormati dan mengamalkan nilai-nilai murni demi memelihara keharmonian masyarakat serta kemakmuran negeri dan negara tercinta.

Sultan Pahang dan Tengku Ampuan bertitah tahun baharu ini juga wajar dijadikan titik tolak untuk memperkukuh azam, meningkatkan usaha dan memperbaiki diri ke arah masa depan yang lebih gemilang.

Dalam pada itu, baginda berdua mengajak seluruh rakyat agar bersama-sama berdoa supaya negeri Pahang dan negara dijauhi segala bentuk tragedi serta bala bencana seperti taufan, banjir dan gempa bumi.

“Akhir kata, semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat dan keberkatan-Nya kepada Pahang dan Malaysia keseluruhannya,” titah baginda berdua.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan