DUNIA

10 Negara Luah Kebimbangan Terhadap Situasi Kemanusiaan Di Gaza

31/12/2025 12:23 PM

LONDON, 31 Dis (Bernama-Xinhua) -- Menteri luar dari Kanada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Jepun, Norway, Sweden, Switzerland, dan Britain pada Selasa mengeluarkan kenyataan bersama bagi menzahirkan kebimbangan terhadap situasi kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Luar Britain, para menteri menyatakan "kebimbangan serius mengenai kemerosotan semula situasi kemanusiaan di Gaza yang kekal dalam bencana."

Orang awam di Gaza kini berdepan keadaan yang sangat memeritkan dengan hujan lebat dan penurunan suhu ekoran ketibaan musim sejuk, menurut kenyataan itu.

Selain itu, mereka juga menderita akibat kekurangan bekalan makanan dan kemudahan kesihatan yang sangat kritikal.

Sehubungan itu, menteri-menteri berkenaan menggesa Israel supaya memastikan operasi organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Gaza berjalan secara "mampan dan konsisten" demi menjamin tindak balas kemanusiaan.

Israel turut digesa untuk memastikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta rakan kongsinya dapat terus menyampaikan bantuan di wilayah berkenaan.

Rejim itu juga diminta menarik balik sekatan terhadap barangan import dwiguna  dan membuka pintu sempadan bagi memudahkan aliran bantuan kemanusiaan.

Baru-baru ini, Kerajaan Palestin menggesa komuniti antarabangsa dan agensi PBB untuk mengambil tindakan kemanusiaan segera bagi melindungi penduduk Gaza daripada keadaan musim sejuk yang ekstrem serta ribut yang berterusan.

Dalam satu kenyataan selepas mesyuarat mingguan di Ramallah, kerajaan itu turut meminta kebenaran kemasukan rumah mudah alih serta bekalan tempat perlindungan lain ke wilayah berkenaan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan