JENAYAH & MAHKAMAH

Pemilik Klinik Veterinar Swasta Didakwa Tinggal Dua Haiwan Hingga Mati

31/12/2025 03:30 PM

PETALING JAYA, 31 Dis (Bernama) -- Seorang pemilik klinik veterinar swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meninggalkan penjagaan dua haiwan hingga menyebabkan kematian di sebuah premis di Damansara Damai pada bulan ini.

Dr Fadzilah A'ini  A. Kadir, 68, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara tidak munasabah telah meninggalkan penjagaan seekor kucing dan seekor anjing hingga menyebabkan kematian haiwan tersebut di premis berkenaan, pada Disember lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor Mohd Sharif Sabran menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Dr Fadzilah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia merupakan seorang ibu tunggal.

Hakim Noor Ruzilawati Mohd Nor membenarkan OKS diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 4 Feb untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan, tular rakaman video dan gambar di media sosial memaparkan seekor anjing dan seekor kucing mati di sebuah klinik veterinar di Damansara Damai.

Berikutan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor memaklumkan pihaknya menerima aduan pada 17 Dis lepas dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua haiwan ditemui mati di dalam sangkar berasingan dengan anggaran tempoh kematian antara satu dan dua minggu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan