AM

Penyelarasan Pemeriksaan Di KLIA Lancarkan Pergerakan Penumpang, Jamin Keselamatan

31/12/2025 04:04 PM

PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) -- Inisiatif penyelarasan pemeriksaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di pintu pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bermula esok akan melancarkan pergerakan penumpang tanpa menjejaskan aspek keselamatan. 

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata aspek keselamatan di pintu masuk negara itu kekal berada pada tahap tertinggi dengan penyelarasan bersepadu daripada semua pihak yang bertanggungjawab.

“Inisiatif baharu ini akan melancarkan pergerakan penumpang di terminal.

“Dalam masa sama, aspek keselamatan tinggi kerana Malaysia Airports Holdings Bhd telah tambah baik mesin pengimbas dengan fungsinya memainkan dua peranan, iaitu keperluan di bawah Aviation Security (AVSEC) dan Perintah Kastam,” katanya kepada Bernama.

Semalam, media melaporkan pemeriksaan JKDM terhadap pengembara yang keluar dari Malaysia akan disatukan di pintu pelepasan KLIA Terminal 1 mulai 1 Jan ini.

Ketika ini, JKDM menjalankan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas Departure Screening di zon berlepas selepas pemeriksaan imigresen dan susun atur itu berpotensi menyebabkan kesesakan pada waktu puncak perjalanan.

Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan inisiatif baharu itu akan membolehkan penumpang melalui aliran pergerakan yang lebih lancar sebelum menaiki pesawat, sekali gus mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di zon berlepas.

Menurut MOT, langkah ini tidak menjejaskan tahap keselamatan atau penguatkuasaan kastam, sebaliknya pemeriksaan penumpang dan barangan akan terus diperkukuh melalui penyelarasan operasi dan pematuhan prosedur yang dipersetujui bersama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan