AM

Fahmi Ingatkan Rakyat Manfaat Teknologi Secara Bijak Sempena Tahun Baharu 2026

31/12/2025 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menasihati ibu bapa supaya memantau penggunaan peranti anak-anak dan memastikan teknologi dimanfaatkan secara bijak sempena tahun baharu 2026.

Beliau menerusi video perutusan Tahun Baharu 2026 di Facebook Kementerian Komunikasi, turut mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan taktik penipuan atau scam yang baharu.

Dalam usaha memperkukuh keselamatan ruang siber negara, tahun 2026 akan menyaksikan perubahan besar, apabila semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial dengan lapan juta atau lebih pengguna perlu berdaftar sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] bermula pada 1 Jan, melalui pelaksanaan Peruntukan Deeming Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langkah kawal selia itu, bertujuan memastikan platform berskala besar beroperasi dalam kerangka undang-undang secara teratur dan berkesan, selain memikul tanggungjawab jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.

Seiring dengan itu, Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) akan berkuat kuasa bermula pada 1 Jan, menekankan perlindungan pengguna, mengawal penipuan siber, eksploitasi dan penyamaran termasuk ancaman melibatkan penyalahgunaan kecerdasan buatan serta teknologi deepfake.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berharap tahun baharu ini dapat memberi peluang kepada rakyat untuk terus memajukan diri, keluarga dan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.

“Semoga tahun 2026 kita kekal cergas, negara berada pada landasan yang betul, ringgit semakin kukuh, ekonomi semakin sihat, mempunyai lebih banyak peluang sebagai rakyat untuk menceburi bidang-bidang yang boleh memajukan diri, keluarga, masyarakat serta negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan