AM

Baru Kehilangan Suami, Ibu Dua Anak OKU Kini Berdepan Dugaan Banjir

31/12/2025 07:38 PM

KUCHING, 31 Dis (Bernama) -- Kesedihan kehilangan suami tercinta pada Ogos lepas belum lagi reda, Rahimah Sidi kini diuji lagi apabila rumahnya di Kampung Sinar Budi Baru, di sini dinaiki air awal pagi tadi akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Namun, wanita berusia 43 tahun yang mempunyai empat anak termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) itu pasrah dengan musibah yang melanda.

Ketika kejadian berlaku, dia sekeluarga berada di kampung dan hanya mendapat tahu rumah dinaiki air selepas menerima panggilan daripada ahli keluarga kira-kira pukul 4 pagi.

"Apabila kami sampai ke rumah, air memang sudah sampai paras lutut, kami tidak sempat selamatkan apa-apa barang. Pakaian, tilam dan katil semuanya habis musnah.

"Rumah saya memang berada di kawasan rendah dan ada sejarah banjir," katanya kepada Bernama hari ini, yang kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru.

Akibat paras air yang yang meningkat dengan mendadak, Rahimah juga tidak dapat menyelamatkan ubat-ubatan dua anak lelaki OKU, iaitu Muhammad Rayyan Azmil, 12, dan Muhammad Aiman Hamzah Azmil, 8.

Beberapa kawasan di sekitar bandar raya Kuching dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan sejak tengah malam tadi. Setakat 4 petang, jumlah mangsa banjir sebanyak 380 orang melibatkan 97 keluarga di dua PPS.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi beberapa kawasan di Sarawak bermula hari ini hingga esok.

Antara kawasan dijangka terkesan ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman dan Betong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan