KANGAR, 2 Jan (Bernama) -- Polis menerima laporan berhubung satu hantaran dalam Facebook yang dipercayai mengandungi unsur fitnah dan tohmahan terhadap individu daripada Institusi Diraja Negeri Perlis.
Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata laporan itu dibuat oleh seorang kontraktor lelaki berusia 39 tahun semalam, selepas individu berkenaan melihat hantaran itu menerusi media sosial ketika berada di sebuah restoran di Arau pada 31 Dis lepas, kira-kira 8.30 malam.
“Hasil rakaman percakapan mendapati, lelaki itu sebelum ini dia tidak pernah melihat hantaran sedemikian, namun pernah mendengar desas-desus berkaitan fitnah tersebut dan tidak mengendahkannya sehingga dia sendiri membaca hantaran berkenaan.
“Hantaran itu menuduh seseorang menjadi dalang dalam menjatuhkan mantan Menteri Besar, iaitu YB (Yang Berhomat) Mohd Shukri Ramli kerana mantan tidak bersetuju dengan nilai dalam perolehan projek sistem perpaipan negeri Perlis yang dikatakan ‘diminta’ oleh seseorang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mohsin berkata kontraktor berkenaan percaya hantaran itu ditujukan kepada Institusi Diraja Negeri Perlis dan memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap pemilik akaun berkenaan kerana cuba memalukan, menjatuhkan dan mengaibkan institusi berkenaan.
“Hasil semakan menerusi Sistem iPRS (Integrated Police Reporting System) mendapati terdapat dua laporan polis termasuk satu laporan polis di Kangar, dan telah diklasifikasikan dirujuk kepada laporan polis asal di Arau,” katanya.
Beliau berkata pemilik akaun Facebook terbabit kini sedang dikesan dan kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial