DUNIA

Tahun Baharu Bawa Sinar Harapan Untuk Mangsa Banjir Sumatera

02/01/2026 06:48 PM

JAKARTA, 2 Jan (Bernama) -- Kedatangan tahun baharu di Sumatera membawa sinar harapan buat ribuan keluarga yang kini tekad membina semula kehidupan mereka selepas diuji bencana banjir besar dan tanah runtuh pada penghujung November lalu, apabila komuniti, sukarelawan dan pihak berkuasa terus berganding bahu dalam usaha pemulihan.

Di seluruh pulau itu, tanda-tanda pemulihan semakin jelas kelihatan, daripada konvoi bantuan yang bergerak tanpa henti melalui bandar-bandar terjejas, hinggalah penduduk setempat yang saling membantu membersihkan runtuhan, membaiki rumah dan memulihkan semula kehidupan selepas berbulan-bulan berdepan kesukaran.

Bagi Thomas Sitakar, pemandangan kenderaan bantuan yang melalui kampung halamannya di Sukaramai, Pakpak Bharat, setiap hari memberi sedikit kelegaan di sebalik kemusnahan yang berlaku.

Bekerja di Jakarta, lelaki berusia 27 tahun itu pulang ke kampung baru-baru ini untuk melawat keluarga dan rakan-rakan, sekali gus menyaksikan sendiri kesan bencana berkenaan. Sukaramai terletak di laluan utama menuju beberapa kawasan paling teruk terjejas, menjadikannya antara lokasi tumpuan pergerakan bantuan.

“Walaupun rumah ibu bapa saya tidak terjejas, sebagai orang Sumatera saya turut merasai penderitaan mereka yang kehilangan segala-galanya.

“Rumah saya terletak kira-kira tujuh jam perjalanan dari Aceh. Setiap hari, trak membawa bantuan melalui kawasan ini. Stesen minyak berhampiran juga sesak; pernah sekali saya terpaksa menunggu hampir tiga jam hanya untuk mengisi minyak.

“Saya benar-benar berharap bantuan sampai ke semua kawasan terjejas dan tidak tertumpu di satu lokasi sahaja. Bukan hanya Aceh yang terkesan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Media melaporkan bahawa banjir dan tanah runtuh yang melanda Sumatera pada akhir November lalu telah meragut lebih 1,000 nyawa, manakala 165 orang lagi masih dilaporkan hilang.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia, bencana itu memusnahkan sekurang-kurangnya 166,925 rumah, menyebabkan penduduk di 52 bandar dan daerah kehilangan tempat tinggal. Sebanyak 53,555 rumah mengalami kerosakan teruk, 41,925 rosak sederhana manakala 71,445 lagi mengalami kerosakan ringan.

Infrastruktur turut terjejas teruk, termasuk 215 kemudahan kesihatan, 3,188 sekolah, 803 rumah ibadat dan 34 jambatan.

Seorang lagi penduduk Sumatera yang kini menetap di Jakarta, Rahmadi, 29, berkata kampung halamannya di Lembah Anai, Sumatera Barat turut dilanda banjir bersama beberapa kawasan lain di Sumatera Utara.

“Seluruh kampung yang mempunyai kira-kira 30 buah rumah musnah sepenuhnya. Tiada apa yang tinggal. Rumah ibu bapa saya terletak kira-kira empat kilometer dari kawasan terjejas. Syukur mereka selamat,” katanya.

Ketika tahun baharu bermula, Rahmadi berkata fikirannya masih tertumpu kepada rakan dan jiran yang terkesan secara langsung, sambil berharap semua mangsa di seluruh Sumatera akan terus menerima bantuan bagi membina semula kehidupan mereka.

Sebagai tanda solidariti terhadap mangsa, Presiden Indonesia Prabowo Subianto memulakan tahun baharu dengan melawat beberapa kawasan terjejas di Sumatera Utara bagi meninjau usaha pemulihan pascabencana.

Beliau turut mengarahkan supaya pembaikan sekolah, hospital dan pusat kesihatan yang rosak akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat diberi keutamaan, selain mempercepatkan pembinaan tempat perlindungan bagi mangsa, lapor agensi berita ANTARA.

Prabowo turut menegaskan bahawa kerajaan telah menyalurkan bantuan secukupnya walaupun tanpa pengisytiharan darurat bencana peringkat nasional, serta memuji peranan Dana Kekayaan Negara Indonesia, Danantara, yang berjaya menyiapkan 600 unit kediaman sementara dalam tempoh lapan hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan