AM

NRES Komited Tingkat Daya Saing Ekonomi, Pemuliharaan Alam Sekitar

06/01/2026 11:15 AM

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan memastikan pengurusan sumber asli negara menyumbang secara langsung kepada daya saing ekonomi, pemuliharaan biodiversiti serta peningkatan kualiti hidup rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI.

NRES dalam kenyataan hari ini, memaklumkan usaha itu akan dilaksanakan menerusi inisiatif seperti Program Penghijauan Malaysia, e-Tanah, pembangunan pasaran karbon dan penggunaan teknologi pemantauan alam sekitar.

“NRES akan memberikan sokongan penuh terhadap Amanat Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggariskan komitmen kerajaan dalam memperkukuh ekonomi, mempertingkat kebajikan rakyat serta memperkasakan tatakelola negara.

“Sebagai peneraju agenda kelestarian alam sekitar dan sumber asli negara, NRES komited untuk menyokong aspirasi Perdana Menteri melalui pelaksanaan dasar dan program yang mampan, berimpak tinggi serta selaras dengan nilai Malaysia MADANI,” menurut kenyataan itu.

NRES juga akan memperluas penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam operasi pemantauan serta penguatkuasaan alam sekitar bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan sebagai menyahut seruan terhadap integriti perkhidmatan awam dan transformasi digital.

Dalam konteks pembangunan wilayah, NRES menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan menunaikan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memastikan Sabah dan Sarawak terus diberi perhatian sewajarnya dalam agenda pembangunan lestari negara.  

Kerajaan setakat ini berjaya menyelesaikan sembilan daripada 13 tuntutan utama di bawah MA63 termasuk penyerahan kuasa pengoperasian Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri Sarawak mengikut perjanjian dimeterai serta pelancaran AirBorneo.

Dari segi peruntukan pembangunan, Sabah diperuntukkan dana sebanyak RM6.9 bilion manakala Sarawak menerima RM6 bilion bagi 2026 selain rundingan berkaitan pemberian khas 40 peratus kepada Sabah yang sedang berjalan secara teratur.

NRES memaklumkan langkah itu penting bagi memastikan tiada wilayah terpinggir daripada arus kemajuan nasional, sejajar dengan prinsip keadilan dan kesejahteraan yang menjadi teras pembangunan negara.

Kementerian itu turut menegaskan komitmen untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dalam memastikan khazanah alam negara diurus secara cekap, telus dan adil demi menjamin kemakmuran serta kelangsungan generasi masa depan.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan