AM

Kekerapan Jualan Rahmah MADANI Beri Kelegaan Kepada Penduduk Luar Bandar

07/01/2026 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI secara lebih kerap memberikan manfaat langsung kepada rakyat khususnya di luar bandar kerana mereka mendapat akses berterusan kepada barangan keperluan pada harga mampu milik sekali gus meringankan beban kos sara hidup.

Di SABAH, Lambatus Solipat, 60, dari Kampung Lapasan Telipok, berkata program itu benar-benar meringankan bebannya yang memiliki keluarga besar kerana dapat membeli barangan keperluan pada harga lebih rendah.

"Saya memerlukan barangan keperluan harian dalam kuantiti yang banyak, dan kekerapan penganjuran program ini membolehkan kami membeli semula keperluan tersebut dengan lebih cepat sekali gus memastikan bekalan barangan sentiasa mencukupi.

"Saya juga berharap penganjuran ini bukan sahaja kerap diadakan tetapi lokasinya juga perlu diperbanyak agar rakyat mempunyai akses untuk mendapatkan barangan yang lebih murah tanpa perlu bersesak," katanya kepada Bernama.

Seorang peniaga dari Kampung Lokub Kiulu, Latius Sikat, 62, memuji usaha kerajaan meneruskan Program Jualan Rahmah MADANI dan Program Agro MADANI kerana inisiatif itu sangat membantu golongan B40 serta petani.

"Di Pekan Kiulu, program ini dilaksanakan seminggu sekali iaitu setiap Selasa bersamaan dengan Hari Tamu, dan saya lihat program ini mendapat sambutan sangat baik sehingga barangan yang dijual pada program itu cepat habis.

"Oleh itu, saya berharap pihak yang mengadakan program tersebut dapat menambahkan lagi kuantiti jualan agar semua penduduk dapat membeli barangan yang diperlukan tanpa perlu bersesak dan berebut," katanya.

Sementara itu, di SARAWAK pekerja swasta Hii Hong Wee, 39, menyifatkan penganjuran Jualan Rahmah MADANI sebanyak tiga kali sebulan sebagai bukti bahawa Kerajaan MADANI mengambil berat tentang keperluan rakyat.

Turut senada ialah Rezduan Zaini, 37, yang melihat usaha tersebut bukan sekadar jualan murah semata-mata tetapi juga inisiatif yang dapat membantu rakyat menjalani kehidupan seharian dengan baik dan penjawat awam itu berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

Pada Isnin lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Januari dan Amanat Tahun 2026 mengumumkan bahawa Jualan Rahmah MADANI yang akan bermula 9 Jan ini akan diadakan tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perdana Menteri berkata secara keseluruhan, lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI akan dianjur melibatkan 600 DUN serta 40 lokasi di Wilayah Persekutuan bagi memastikan barangan keperluan asas ditawarkan pada harga yang lebih rendah berbanding pasaran setempat.

Dilancarkan pada 11 Jan 2023, program itu yang merupakan antara inisiatif di bawah Payung RAHMAH yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, menawarkan penjimatan antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian terpilih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan