AM

Kekerapan Banjir Di Beaufort Menyebabkan Kerugian Jutaan Ringgit

07/01/2026 08:10 PM

BEAUFORT, 7 Jan (Bernama) -- Bencana banjir yang kerap melanda daerah Beaufort, khususnya di kawasan Lumadan menyebabkan kerugian hingga jutaan ringgit melibatkan kemusnahan tanaman pertanian, haiwan ternakan dan kerosakan harta benda penduduk.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Ruslan Muharam berkata penduduk kawasan itu kadangkala terpaksa berdepan banjir hingga 10 kali dalam setahun.

"Dianggarkan lebih 10,000 petani yang tanaman seperti buah-buahan dan padi terjejas banjir dijangka sukar untuk mendapatkan hasil yang diharapkan.

"Kita telah minta mereka melaporkan kerosakan yang dialami kepada pegawai pertanian daerah untuk dibawa ke peringkat negeri seterusnya ke Persekutuan bagi proses tuntutan bantuan," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan banjir dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kampung Batandok dan Dewan Kampung Padas Damit, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan itu berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha secara berterusan untuk mengatasi masalah banjir, khususnya menerusi projek tebatan banjir.

Beliau berkata pelaksanaan projek tebatan banjir telah berjaya mengurangkan risiko bencana tersebut yang sebelum ini sering menjejaskan pekan Beaufort.

“Pekan lama Beaufort yang dahulunya kerap ditenggelami air kini berada dalam keadaan lebih terkawal hasil pembinaan sistem tebatan banjir tersebut

"Itu adalan fasa pertama tebatan banjir dan fasa seterusnya akan kita usahakan," katanya menambah sebuah PPS kini sedang dalam perancangan dibina di Kampung Padas Damit.

Ruslan berkata kawasan pembinaan PPS itu kini sedang dikenal pasti yang dijangka mampu menempatkan kira-kira 1,000 mangsa dari kampung berdekatan.

Setakat petang tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan hanya dua daerah masih terjejas banjir iaitu Tenom dan Beaufort, dengan seramai 1,206 mangsa daripada 425 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di dua daerah tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan