DUNIA

2026 Uji Kuasa Dan Orde Global - PM Anwar

07/01/2026 09:25 PM

ANKARA, 7 Jan (Bernama) -- Malaysia menyifatkan 2026 sebagai tahun kritikal yang akan mencabar andaian lama mengenai kuasa, orde dan tanggungjawab global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada syarahan umum bertajuk "Peralihan Kuasa: Pilihan Strategik Bagi Malaysia Dan Turkiye" di Ankara pada Rabu, Anwar berkata tahun mendatang akan ditandai dengan ketidaktentuan yang ketara dan perubahan strategik di peringkat global.

“Ini akan menguji banyak andaian yang telah lama diterima tentang kuasa, orde dan tanggungjawab,” katanya, sambil menambah bahawa kunjungan beliau ke Turkiye merupakan antara lawatan paling penting pada 2026.

Anwar menegaskan bahawa negara yang berkedudukan sebagai kuasa pertengahan tidak boleh membiarkan diri mereka bersikap pasif ketika kepastian global terus terhakis, atau sekadar menunggu pihak lain menetapkan syarat.

Beliau berkata apabila diplomasi berdepan tekanan, negara mempunyai kewajipan untuk mengekalkannya, dan menegakkan norma antarabangsa walaupun ia sedang dicabar.

“Apabila diplomasi berada di bawah tekanan, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan ia terus berfungsi. Apabila undang-undang antarabangsa diperlekeh atau diabaikan, kita mesti menegaskan bahawa ia tetap penting,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan bahawa kerjasama antara negara seperti Malaysia bukanlah mengenai konfrontasi atau politik blok yang menyasarkan mana-mana negara, sebaliknya mengenai mengemudi persekitaran antarabangsa yang semakin sengit.

Beliau menambah bahawa walaupun tindakan sedemikian mungkin tidak menyelesaikan setiap pertikaian global, ia tetap penting bagi memelihara ruang strategik untuk negara kecil dan sederhana, selain memberi amaran bahawa ketidaktentuan yang meningkat telah meningkatkan risiko kesilapan dalam percaturan, menjadikan tindakan menarik diri sebagai pilihan yang berisiko.

“Tindakan yang diambil oleh negara seperti kita tidak akan menyelesaikan setiap persaingan. Namun, ia akan membantu menentukan sama ada negara yang lebih kecil kekal mempunyai ruang untuk bergerak, dan sama ada undang-undang masih mampu mengekang kuasa besar,” katanya.

Anwar berada di Turkiye untuk lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang terjalin lama antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan