KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Seramai 600 pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak menerima bantuan baucar persekolahan bernilai RM150 seorang sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu yang bermula Isnin.
Sumbangan berjumlah RM90,000 itu disampaikan oleh isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali ke Sekolah Parlimen Bandar Tun Razak di sini hari ini.
Dr Wan Azizah berkata program yang dilaksanakan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) itu dapat meringankan beban kewangan ibu bapa, selain memastikan murid memulakan sesi persekolahan dengan lebih yakin dan lengkap.
“Saya amat menghargai usaha murni ini. Dengan baucar tunai ini, ibu bapa boleh membeli barangan mengikut keperluan anak-anak.
“Ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan kewangan pada waktu kritikal yang dihadapi ibu bapa atau penjaga, terutamanya mereka yang mempunyai lebih daripada seorang anak yang masih bersekolah,” katanya ketika berucap di majlis yang berlangsung di Kompleks Sukan Desa Tasik.
Beliau turut berkata bantuan secara bersasar itu amat diperlukan, khususnya dalam keadaan kos sara hidup bandar yang semakin mencabar.
Baucar berkenaan boleh digunakan untuk pembelian barangan persekolahan di Pasaraya Hari-Hari dan diberikan kepada pelajar daripada enam zon di sekitar Bandar Tun Razak, termasuk kawasan Desa Tasik, Sungai Besi, Alam Damai, Bandar Sri Permaisuri dan Kampung Malaysia.
Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan Pengarah Urusan AIM Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz.
Sementara itu, seorang penerima bantuan Nur Daniesya Aafiyah Wazir, 9, murid Sekolah Kebangsan Seri Tasik, di sini, berkata beliau bersyukur menerima bantuan tersebut yang dapat dimanfaatkan untuk membeli keperluan seperti pakaian dan alat tulis.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Ziyan Hafiy Rizqi, 15, bantuan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapanya dalam menyediakan kelengkapan persekolahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial