EKONOMI

JAKS Resources Jual Sepenuhnya Pegangan Dalam JSNT Kepada Sunview

12/01/2026 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- JAKS Resources Bhd menerusi unitnya, JAKS Solar Power Sdn Bhd, bersetuju untuk melupuskan sepenuhnya pegangan dalam anak syarikat milik penuhnya, JAKS Solar Nibong Tebal Sdn Bhd (JSNT) kepada Sunview Asset Management Sdn Bhd (SAMSB) pada jumlah pertimbangan sehingga RM55 juta. 

JAKS Solar Power adalah unit milik penuh JAKS Solar Power Holdings Sdn Bhd, sekali gus menjadikannya anak syarikat milik penuh JAKS Resources.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata perjanjian penjualan saham bersyarat tersebut adalah bagi cadangan pelupusan 10 juta saham kepada SAMSB dan ia terbahagi kepada dua bahagian.

Ia melibatkan pertimbangan tunai sebanyak RM15 juta dan penyelesaian pendahuluan sehingga RM40 juta oleh SAMSB, yang mewakili jumlah terhutang oleh JSNT kepada JAKS. 

Menurut kumpulan itu, cadangan pelupusan tersebut dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2026, dengan M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama. 

“Menjelang cadangan pelupusan itu dimuktamadkan, JAKS Solar Power akan berhenti daripada memegang sebarang kepentingan ekuiti dalam JSNT,” katanya. 

JAKS Resources berkata perjanjian yang dicadangkan itu akan memberi peluang kepada kumpulan itu untuk memanfaatkan nilai JSNT pada nilai pasaran, dengan jangkaan keuntungan pro forma bersih daripada pelupusan sebanyak RM6.84 juta. 

Selain itu, kumpulan tersebut berkata ia berhasrat untuk menggunakan RM14.70 juta hasil daripada perjanjian itu untuk mengurangkan pinjamannya. 

“Pembayaran balik pinjaman dijangka memberi kesan yang positif kepada kewangan kumpulan dengan penjimatan faedah kira-kira RM0.80 juta setahun berdasarkan kadar faedah semasa sedia ada sebanyak 5.45 peratus setahun,” katanya. 

Sementara itu, dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, Sunview Group Bhd berkata pengambilalihan yang dicadangkan oleh unitnya, SAMSB itu dijangka mewujudkan manfaat sinergi untuk melengkapi perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan kemudahan fotovoltaik solar kumpulan itu, yang terdiri daripada penjanaan dan bekalan tenaga solar, serta perkhidmatan dan produk berkaitannya. 

“Sebagai sebahagian daripada pelan kumpulan untuk mengembangkan kemudahan fotovoltaik solar di Malaysia, antara lain, kumpulan ini berhasrat untuk mengambil alih JSNT, yang mempunyai loji fotovoltaik solar berskala besar 50 megawatt dengan tempoh konsesi selama 25 tahun yang dipegang oleh JSNT, bagi rancangan pengembangan perniagaannya,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan