KINABATANGAN, 12 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan 446 kertas undi pos kepada individu yang berhak untuk mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus dalam kenyataan berkata pengeluaran kertas undi pos dilakukan hari ini (12 Jan) oleh petugas pilihan raya yang dilantik oleh pegawai pengurus pilihan raya dengan kehadiran ejen undi pos daripada calon-calon bertanding.
Beliau berkata kertas undi pos bagi PRK Parlimen Kinabatangan yang dikeluarkan meliputi 203 kertas undi pos Kategori 1A untuk petugas pilihan raya, anggota polis dan petugas media manakala 48 kertas undi pos bagi Kategori 1C melibatkan agensi dan organisasi.
Menurut Khairul Shahril, kertas undi pos bagi PRK DUN Lamag yang dikeluarkan adalah terdiri daripada 155 undi pos Kategori 1A bagi petugas pilihan raya, anggota polis dan petugas media dan 40 undi pos bagi Kategori 1C untuk agensi dan organisasi.
“SPR mengingatkan kepada semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) serta kembalikan kepada pegawai pengurus pilihan raya berkenaan sebelum 5 petang pada hari mengundi, iaitu pada 24 Jan (Sabtu).
“Pengundi juga diingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial,” katanya.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 48,722 pengundi terdiri daripada 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis serta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRK kali ini.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas) manakala pertandingan satu lawan satu berlaku pada PRK DUN Lamag antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
SPR menetapkan tempoh berkempen 14 hari dengan hari pengundian adalah pada 24 Jan dan 20 Jan sebagai undi awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial