AM

RM740,000 Diperuntuk Kepada 2,000 Anak Sabah Melalui Inisiatif Sejahtera MADANI

13/01/2026 02:03 PM

KOTA KINABALU, 13 Jan (Bernama) -- Sebanyak RM740,000 diperuntukkan kepada 2,000 anak Sabah yang tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar melalui Inisiatif Sejahtera MADANI Bantuan Pendidikan Fasa Satu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata penerima inisiatif berkenaan merangkumi pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

"Ia meliputi pelbagai bantuan seperti yuran pengajian, tuisyen, peralatan dan bantuan awal persekolahan serta bantuan lain yang berkaitan," katanya berucap pada Majlis Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandaraya di sini hari ini.

Selain BAP, beliau berkata inisiatif tersebut merupakan antara usaha menyeluruh kerajaan untuk memberi akses pendidikan yang saksama kepada generasi pelapis masa hadapan negara, khususnya dalam kalangan mereka yang memerlukan.

"Inisiatif Sejahtera MADANI peringkat Sabah ini dilaksanakan di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM)," katanya.

Mengulas mengenai BAP, Mustapha berkata Belanjawan 2026 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM794 juta kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan pengagihan BAP kepada semua pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 6 atau yang setaraf dengannya pada sesi persekolahan 2026 tanpa mengira had pendapatan ibu bapa di seluruh negara.

"Sebanyak RM730 juta telah disalurkan kepada sekolah untuk diagihkan kepada semua murid bermula 8 Jan 2026. Untuk Sabah peruntukan sebanyak RM76 juta yang memberi manfaat kepada 508,631 murid di 1,298 sekolah di seluruh negeri ini.

"Bagi SMK Bandaraya Kota Kinabalu yang terletak dalam Parlimen Sepanggar, sebanyak RM405,900 diperuntukkan dan diberikan kepada semua murid warganegara. Bantuan ini selaras dengan misi dan visi kami untuk meletakkan pendidikan sebagai pemangkin utama mobiliti sosial dalam merubah nasib keluarga," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan