DUNIA

9 Bayi Meninggal Dunia Di Hospital Bersalin Di Siberia Sepanjang Cuti Tahun Baharu

13/01/2026 10:57 PM

MOSCOW, 13 Jan (Bernama-Anadolu) -- Jawatankuasa Siasatan Rusia mendedahkan pada Selasa seramai sembilan bayi meninggal dunia sepanjang cuti Tahun Baharu di sebuah hospital bersalin di bandar Novokuznetsk, wilayah Kemerovo di Siberia, lapor Anadolu Ajansi.

Susulan kejadian itu, beberapa kes jenayah dibuka dan siasatan dilancarkan, menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Punca kematian tidak didedahkan, namun jawatankuasa berkenaan mengesyaki kecuaian kakitangan dalam rawatan terhadap bayi baru lahir.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kesihatan wilayah itu mengesahkan kematian berkenaan dan memaklumkan yang hospital itu ditutup untuk tujuan kuarantin.

Menurut kementerian itu, dari 1 Dis hingga 11 Jan, 234 kelahiran direkodkan di hospital bersalin Novokuznetsk, dengan 17 bayi dilahirkan dalam keadaan amat kritikal.

Di Novokuznetsk, sebuah bandar dengan populasi melebihi 500,000 orang, terdapat dua hospital bersalin yang beroperasi di bawah hospital bandar. Selepas penutupan sebuah daripadanya, semua ibu mengandung dipindahkan ke hospital bersalin yang satu lagi.

Speaker Majlis Persekutuan, dewan tertinggi Parlimen Rusia Valentina Matviyenko menyifatkan kejadian di hospital bersalin Novokuznetsk sebagai “satu tragedi bagi negara” dan mengarahkan senator untuk memantau siasatan dengan teliti.

Sementara itu, ketua pakar perubatan hospital bersalin berkenaan Vitaly Kheraskov dilucutkan jawatannya. Mengulas kejadian itu, beliau berkata semua bayi yang meninggal dunia dilahirkan dengan patologi atau masaalah kesihatan.

“Sejak akhir Disember, ramai bayi pramatang dengan patologi dilahirkan di hospital bersalin ini; setiap kes adalah berbeza dan kami tidak menganggap ia berkaitan sebagai satu trend. Namun,  siasatan masih berjalan. Saya menafikan sekeras-kerasnya kesalahan pihak doktor,” katanya.

Ketika ini, empat kanak-kanak masih berada di bawah pemerhatian di unit rawatan rapi. Daripada 32 bayi yang dimasukkan ke unit rawatan rapi neonatal, 17 berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan intrauterin, manakala 16 bayi dilahirkan pramatang.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan