AM

KPSTI Bantu Percepat Pendigitalan Sekolah Di Sabah - James Ratib

14/01/2026 03:31 PM

KOTA KINABALU, 14 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri (KPSTI) giat membantu mempercepatkan pendigitalan semua sekolah di Sabah, dengan fasa awal melibatkan pemberian komputer riba serta pemasangan kemudahan Starlink di sekolah terlibat.

Menterinya Datuk James Ratib berkata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersedia membantu kementerian itu bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bagi merealisasikan inisiatif berkenaan.

Beliau berkata pendigitalan bermula dengan pemberian komputer riba kepada sekolah yang memerlukan, namun kemudahan itu akan diserahkan kepada pihak sekolah untuk diuruskan.

“Pihak sekolah akan menyediakan sebuah bilik sumber khas bagi menempatkan komputer riba berkenaan.

“Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membekalkan kemudahan Starlink kepada sekolah yang tidak mempunyai capaian internet,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkaitan pendigitalan sekolah di Sabah, di sini, hari ini.

James berkata pelaksanaan inisiatif itu akan dimulakan sebaik sahaja JPNS merumuskan hasil perbincangan mesyuarat untuk diserahkan kepada MCMC bagi tujuan permohonan peruntukan.

Beliau berkata mesyuarat khas hari ini diadakan susulan pertemuannya dengan Menteri Komunikasi sebelum ini yang menyatakan kesediaan membantu keperluan pendigitalan sekolah di negeri itu.

“Sasaran permintaan komputer riba yang dikemukakan JPNS adalah sebanyak 45,000 unit, manakala 68 sekolah dikenal pasti memerlukan pemasangan Starlink.

“Jumlah ini ditetapkan oleh JPNS, namun terpulang kepada MCMC untuk mempertimbangkan dan meluluskan permohonan berkenaan. Apa yang penting, kita tidak mahu Sabah terus ketinggalan dalam arus pemodenan teknologi yang berkembang pesat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan