AM

Pengguna MyNIISe Perlu Daftar MyDigital ID Selewat-lewatnya Esok

14/01/2026 07:02 PM

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Warganegara Malaysia yang telah menggunakan aplikasi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) perlu mendaftar MyDigital ID selewat-lewatnya esok untuk terus menggunakan perkhidmatan itu di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengguna baharu MyNIISe pula diwajibkan membuat pendaftaran MyDigital ID bermula esok.

“Pengguna sedia ada masih boleh log masuk ke MyNIISe menggunakan kaedah sedia ada sehingga tamat tempoh percubaan MyNIISe pada 28 Feb ini bagi tujuan pendaftaran dan pembaharuan MyDigital ID,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, KDN memaklumkan pengembara yang belum mempunyai MyNIISe masih mempunyai pilihan untuk menggunakan autogate MyBorderPass, autogate biasa melalui imbasan pasport atau kaunter pemeriksaan fizikal bagi urusan keluar masuk negara.

Menurut kenyataan itu, pendaftaran MyDigital ID akan membolehkan semua pengguna menikmati akses kepada fungsi tambahan MyNIISe yang akan diperkenalkan selepas tamat tempoh percubaan pada 28 Feb ini, sebelum sistem itu diperluas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Bayan Lepas, Kuching dan Kota Kinabalu.

Menurut KDN, MyDigital ID berfungsi sebagai kunci digital untuk log masuk ke aplikasi MyNIISe dengan beberapa manfaat keselamatan utama.

Antaranya, pengesahan identiti pengguna dilakukan secara tepat melalui pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tanpa menyimpan data peribadi dalam aplikasi, sekali gus mengelakkan insiden penipuan identiti digital serta memastikan proses log masuk yang selamat dan menyokong pelaksanaan perkhidmatan imigresen secara digital

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk melaksanakan pendigitalan perkhidmatan awam secara selamat, berfasa dan berfokuskan rakyat, selaras dengan usaha memperkukuh kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan digital kerajaan,” menurut KDN.

Aplikasi MyNIISe mula digunakan pada 22 Sept lepas di pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor dan akan diperluas secara berperingkat ke KLIA Terminal 1 dan 2, Bayan Lepas, Kuching serta Kota Kinabalu.

Setakat 30 Dis lepas, MyNIISe mencatat 599,967 muat turun dengan 287,258 pengguna berdaftar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan