PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Dua wanita warga Indonesia yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa serta pemerdagangan orang berjaya diselamatkan dalam operasi berasingan di Kapar dan Bukit Jelutong, Selangor.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam serbuan pertama pada 6 Jan lepas, seorang wanita warga tempatan berumur 38 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ejen ditahan ketika melakukan transaksi penyerahan seorang pembantu rumah kepada majikan di sebuah premis makanan.
Beliau berkata susulan itu, seorang wanita warga Indonesia berumur 45 tahun berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut.
"Siasatan awal mendapati mangsa memiliki pas lawatan sosial yang masih sah namun telah dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
"Mangsa turut dibebani hutang kos perjalanan sebanyak RM3,000 yang perlu dilunaskan melalui pemotongan gaji bulanan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata modus operandi sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah melalui aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran RM8,000 kepada majikan dan menjanjikan gaji bulanan sebanyak RM1,500 kepada pekerja.
Beliau berkata dalam operasi kedua pada 12 Jan lepas, seorang lagi wanita Indonesia berumur 54 tahun berjaya diselamatkan di sebuah kediaman yang diubah suai menjadi premis makanan di Bukit Jelutong, dan mangsa dipercayai telah bekerja hampir sebulan selepas diserahkan oleh ejen kepada majikan dengan bayaran mencecah RM14,000.
"Mangsa dipaksa bekerja melebihi tempoh masa yang ditetapkan manakala pasport dan telefon bimbit mangsa dipegang oleh pihak sindiket, menyebabkan mangsa terputus hubungan dengan ahli keluarga," katanya.
Zakaria berkata mangsa turut berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental serta pergerakan yang dikawal ketat, dan susulan itu, seorang wanita warga tempatan yang juga pemilik premis berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata kedua-dua mangsa dikenal pasti berdasarkan Garis Panduan Nasional Mengenai Indikator Pemerdagangan Orang 2.0 manakala kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial