PUTRAJAYA, 15 Jan (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta memperbanyakkan kursus kesedaran berkaitan integriti dan literasi kewangan di semua kementerian serta jabatan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat KSN 2026 di sini hari ini, beliau berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan kefahaman penjawat awam mengenai integriti serta isu berkaitan salah laku.
“Kita telah meminta SPRM memperbanyakkan kursus kesedaran, khususnya melibatkan kementerian, di mana semua Ketua Setiausaha perlu melaksanakan sesi kesedaran kepada penjawat awam di semua peringkat, bermula daripada peringkat tertinggi, pertengahan hingga bawahan.
“Selain itu, saya juga meminta MOF mengadakan kursus kesedaran kerana isu berkaitan kewangan sering kali tidak difahami sepenuhnya. Keadaan ini boleh mendorong berlakunya ketirisan dan kelemahan sistem, sekali gus memberi kesan buruk terhadap integriti dan pentadbiran awam,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Shamsul Azri menyentuh mengenai imej perkhidmatan awam yang tercalar susulan beberapa isu dan kes integriti berprofil tinggi kebelakangan ini.
“Realiti pahit ini perlu diterima dengan penuh keinsafan dan, yang lebih penting, menjadi dorongan untuk kita terus memperbaiki diri serta membulatkan tekad melaksanakan amanah dengan penuh integriti.
“Integriti dan amanah merupakan asas kepada keabsahan serta kredibiliti perkhidmatan awam. Setiap penjawat awam bertanggungjawab menjauhi, menolak dan membenci sebarang bentuk pelanggaran tatakelakuan, rasuah serta konflik kepentingan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial