KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Program jerayawara pendidikan tinggi anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) bakal memulakan siri jelajah ke 10 zon di seluruh Malaysia bermula 29 Jan ini hingga 26 April.
KPT menerusi satu kenyataan memaklumkan program itu memberi peluang kepada pelajar dan ibu bapa mendapatkan panduan secara langsung berkaitan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk aspek pemilihan program, penajaan serta bantuan kewangan.
Bertemakan “DreamX: Inspiring Your Next Step”, JMU 2026 merupakan inisiatif KPT bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan maklumat kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selain menggalakkan pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Penganjuran JMU 2026 bertujuan mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh IPT di bawah KPT yang merangkumi Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) serta penglibatan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT),” menurut kenyataan itu.
Karnival ini menyasarkan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, STAM, Diploma atau setaraf.
Pelbagai aktiviti menarik ditawarkan sepanjang JMU 2026 berlangsung antaranya pameran, sesi konsultasi UPUOnline®, konsultasi penajaan/ biasiswa/ pinjaman dan bantuan kewangan pendidikan tinggi.
Turut diadakan terjah reruai IPT, cabutan bertuah, campus tour, persembahan pelajar, aktiviti bersama alumni, ruang interaktif, aktiviti keusahawanan, penstriman langsung media sosial dan banyak lagi.
KPT menjemput pelajar, ibu bapa, guru, kaunselor, dan orang awam untuk hadir serta memanfaatkan peluang yang disediakan sepanjang karnival ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial