AM

ATM Laksana Rombak, Rawat Tatakelola Pengurusan Dan Pentadbiran

16/01/2026 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius isu tatakelola serta penyalahgunaan kuasa yang berlaku dalam pasukan itu dan sedang melaksanakan langkah rombak dan rawat serta penambahbaikan.

Markas ATM Bahagian Risikan Dan Komunikasi Strategik Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan langkah rombak dan rawat serta penambahbaikan itu, dilakukan khususnya dalam hal berkaitan tatakelola pengurusan dan pentadbiran secara teratur, berfakta dan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada.

Hal itu disepakati hasil perbincangan JPP yang dianggotai Panglima Tentera Laut selaku Pemangku Panglima Angkatan Tentera Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Darat Jen Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

“Perbincangan ini mencerminkan kesepaduan kepimpinan tertinggi ATM dalam memastikan kestabilan institusi, keutuhan tatakelola serta keyakinan rakyat terhadap pasukan pertahanan negara terus terpelihara.

“Sehubungan itu, JPP memohon agar semua pihak memberi ruang yang sewajarnya kepada ATM untuk memperbetul keadaan melalui mekanisme dan proses yang telah ditetapkan, tanpa sebarang tekanan atau spekulasi yang boleh menjejaskan ketelusan usaha berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, JPP menyeru seluruh pegawai dan anggota ATM terus bersatu, berdisiplin serta menaruh keyakinan terhadap proses penguatkuasaan dan kerangka undang-undang sedia ada,

“Sebarang penyaluran maklumat sensitif hendaklah dibuat melalui saluran sah mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada undang-undang, peraturan atau nilai teras perkhidmatan dan setiap isu akan ditangani secara adil, telus dan profesional melalui mekanisme sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Bagi agensi penguatkuasaan undang-undang negara pula, JPP memohon agar semua pihak berkepentingan menitikberatkan keutuhan ATM sebagai sebuah pasukan keselamatan negara yang memikul amanah mempertahankan kedaulatan tanah air.

Pendekatan yang seimbang, berprinsip dan berlandaskan undang-undang amat penting bagi memastikan keadilan ditegakkan tanpa menjejaskan kestabilan institusi strategik negara.

Sementara itu, ATM dalam kenyataan itu turut memaklumkan pasukan itu menghormati kebebasan orang awam untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.

Namun orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidah sahih dan bersifat spekulatif yang boleh mengundang kekeliruan serta salah tafsir yang lebih membawa kemudaratan kepada imej ATM.

“Kepimpinan ATM memberikan sepenuh komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berautoriti demi memastikan kebenaran ditegakkan serta keyakinan rakyat terhadap ATM terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

JPP turut memberi jaminan bahawa ATM akan terus berdiri sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini, serta kekal komited melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Malaysia tanpa sebarang kompromi.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan