AM

UKM Penganjur Bersama Simposium TEA@SUNRISE 2026

17/01/2026 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) menjadi penganjur bersama Simposium TEA@SUNRISE 2026, sebuah perhimpunan antarabangsa bersejarah bertujuan mempercepat peralihan tenaga yang adil melalui teknologi tenaga suria generasi baharu yang inovatif, mudah diakses dan mampan di seluruh rantau ASEAN.

UKM dalam satu kenyataan hari ini maklumkan bahawa Naib Canselor universiti Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh ketika merasmikan simposium tersebut, menegaskan komitmen strategik UKM terhadap kelestarian serta peranannya sebagai pemangkin kepada penyelesaian tenaga serantau.

Dalam ucapan alu-aluannya, Sufian turut menyatakan bahawa universiti itu memainkan peranan penting sebagai pemangkin penyelesaian tenaga pada peringkat serantau, dengan penekanan kukuh terhadap penterjemahan penyelidikan kepada impak nyata bagi peralihan tenaga pada peringkat nasional dan ASEAN.

“Simposium ini melambangkan komitmen strategik UKM untuk menjadi universiti penyelidikan terkemuka dalam bidang kelestarian dan sebagai sebuah institusi, kami bukan sahaja memajukan penyelidikan terkini tetapi juga secara aktif menterjemahkan ilmu kepada penyelesaian bagi keutamaan nasional dan serantau.

“Penganjuran rangkaian global ini sejajar sepenuhnya dengan misi kami untuk memacu peralihan tenaga, dan kami komited untuk memupuk kerjasama serta bakat yang diperlukan bagi menjadikan Asia Tenggara sebagai hab tenaga suria yang inovatif, adil dan mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SERI Profesor Dr Norasikin Ahmad Ludin berkata simposium berkenaan, bertujuan meneroka potensi rantaian nilai tempatan tenaga suria generasi baharu, selain memastikan kelestarian jangka panjang teknologi tersebut.

“Kami berhasrat membangunkan strategi kukuh yang dapat menjadi rujukan dalam penggubalan dasar bagi pembuatan tempatan, sekali gus mewujudkan manfaat ekonomi dan alam sekitar yang signifikan untuk rantau ini dan seterusnya,” katanya yang juga merupakan ahli Kumpulan Kepimpinan TEA@SUNRISE.

Dianjurkan dengan tema “Strategi Mempercepatkan Peralihan Tenaga yang Adil menerusi Penggunaan Teknologi Tenaga Suria Generasi Baharu”, simposium tersebut menandakan satu langkah penting ke arah pembentukan masa hadapan tenaga yang mampan dan saksama bagi Malaysia, Asia Tenggara dan lebih lagi.

Majlis pembukaan turut menampilkan ucaptama oleh wakil Suruhanjaya Tinggi British Murugadash Tevar Loganathan, yang menekankan kekuatan berterusan kerjasama Malaysia-United Kingdom dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Beliau mengulangi komitmen United Kingdom untuk menyokong inisiatif kolaboratif seperti TEA@SUNRISE, dalam membangunkan ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Simposium TEA@SUNRISE berperanan sebagai platform dialog global bagi memajukan inovasi dan pelaksanaan tenaga suria, dengan menghimpunkan pakar antarabangsa, penyelidik, pengeluar, pembiaya dan pembuat dasar.

Perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan pelan hala tuju bersama untuk meningkatkan skala penggunaan teknologi tenaga suria generasi baharu di seluruh rantau ini, serta di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

TEA@SUNRISE ialah sebahagian daripada platform Transforming Energy Access yang dibiayai oleh bantuan United Kingdom daripada kerajaan negara itu untuk menyokong teknologi, model perniagaan dan kemahiran yang diperlukan bagi membolehkan peralihan tenaga bersih yang inklusif.

Penyelidik Utama TEA@SUNRISE di Swansea University dan Kursi UNESCO dalam Teknologi Tenaga Lestari Profesor Matthew Davies yang menerajui usaha antarabangsa yang lebih luas berkata solar generasi baharu menawarkan peluang yang baik untuk memikirkan semula kaedah penyampaian akses tenaga.

"Melalui TEA@SUNRISE, kami menyatukan penyelidik, industri, pembuat dasar, dan komuniti untuk memastikan teknologi ini digunakan dengan cara yang lestari, inklusif dan relevan pada peringkat tempatan. Kerjasama dan pemikiran antara disiplin adalah penting untuk menjadikan visi ini satu kenyataan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan