POLITIK

PRK Kinabatangan, Lamag: Kempen Masuki Fasa Kedua, Pecutan Terakhir Semua Calon

17/01/2026 11:13 AM

KINABATANGAN, 17 Jan (Bernama) -- Fasa pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag memperlihatkan corak kempen sederhana dengan kebanyakan calon menyenaraikan antara satu hingga lima program sehari.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan calon bertanding memilih pendekatan bersemuka dari rumah ke rumah serta ceramah kelompok kecil, berbanding penganjuran acara besar-besaran, dalam usaha meraih sokongan pengundi.

Sepanjang tujuh hari berkempen sejak 10 Jan lepas turut memperlihatkan suasana lebih tenang dan tidak semeriah Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 Nov lepas, khususnya dari segi perang bendera dan poster kecuali di beberapa kawasan yang “berperang” bendera dalam skala kecil.

Faktor geografi Parlimen dan DUN yang luas, akses jalan raya terhad serta kebergantungan kepada pengangkutan air di beberapa lokasi dikenal pasti sebagai antara cabaran utama bagi lima terdiri daripada tiga calon bagi kerusi Parlimen dan dua calon bagi DUN dalam usaha mendekati pengundi.

Kini kempen telah memasuki fasa kedua dan ia merupakan pecutan terakhir buat semua calon untuk mendekati pengundi.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata keutamaannya untuk menziarah kesemua 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di parlimen berkenaan sebagai langkah memahami denyut nadi masyarakat setempat secara lebih dekat dan setakat ini telah berkunjung ke 19 PDM.

“Setiap teguran dan permintaan penduduk akan dinilai secara teliti sebelum dijadikan dasar tindakan... hanya dengan melihat situasi sebenar barulah perancangan pembangunan dapat dirangka secara tepat dan menyeluruh,” katanya kepada Bernama hari ini.

Calon BN bagi DUN Lamag Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali Miha pula berkata kempen yang dijalankan sepanjang seminggu telah menjangkau 80 peratus kawasan DUN.

“Kita kembalikan kepada rakyat untuk menilai corak kempen, namun berdasarkan respons positif yang diterima, ia agak memberangsangkan,” katanya.

Sementara itu, calon Parti Warisan (Warisan) bagi Parlimen Kinabatangan Datuk Saddi Abdul Rahman berkata kempennya telah mencapai kira-kira 50 peratus liputan pada minggu pertama dan akan memberi tumpuan kepada kawasan yang belum dikunjungi pada minggu kedua manakala calon Warisan bagi DUN Lamag Mazliwati Abdul Malek pula berkata liputan kempennya telah merangkumi keseluruhan kawasan DUN.

Bagi calon Bebas PRK Parlimen Kinabatangan Goldam Hamid, beliau berkata kempen yang dijalankannya telah meliputi kira-kira 70 peratus kawasan di DUN Sukau dan Lamag.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan Mohd Kurniawan Naim ditentang Saddi dan Goldam manakala PRK DUN Lamag pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail dengan Mazliwati.

Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 10 Jan hingga 11.59 malam, 23 Jan, dan hari pengundian pada 24 Jan manakala undi awal pada 20 Jan ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag adalah sebanyak 48,722 orang merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis serta pasangan sebagai pengundi awal.  

Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) bagi kedua-dua PRK berkenaan ialah di Dewan Sri Lamag.

Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran dan satu pusat mengundi awal iaitu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan dengan satu saluran, akan digunakan. 

Menurut SPR kesemua pusat mengundi akan dibuka 8 pagi hingga 5 petang, kecuali 20 pusat mengundi di tiga DUN iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau, yang akan ditutup seawal 12 tengah hari hingga 4 petang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan