AM

KPKT Umum RM3 Juta Bina Enam Taman Rekreasi MADANI Di Pulau Pinang

17/01/2026 05:15 PM

GEORGE TOWN, 17 Jan (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi pembinaan enam Taman Rekreasi MADANI di Pulau Pinang tahun ini, sebagai usaha mempertingkatkan kemudahan rekreasi dan kesejahteraan komuniti setempat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu diberikan bersempena dengan sambutan Thaipusam sebagai tanda penghargaan kerajaan persekutuan kepada Pulau Pinang.

Beliau berkata tiga taman rekreasi itu akan dibangunkan di bahagian pulau manakala tiga lagi di kawasan Seberang Perai. 

"Kos pembinaan dianggarkan RM500,000 bagi setiap taman dan pembinaan dijangka siap hujung tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan dan Penyerahan Sijil Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini hari ini.

Beliau berkata pembinaan Taman Rekreasi MADANI merupakan antara inisiatif utama KPKT bagi mendekatkan kemudahan rekreasi kepada rakyat.

Nga berkata sejak inisiatif Taman Rekreasi MADANI dilancarkan pada 2024, kementerian telah melepasi sasaran tahunan pembinaan 100 taman.

“Tahun pertama pelaksanaan, kita bukan sahaja mencapai sasaran malah melepasi sasaran dengan 109 Taman MADANI siap dibina. Tahun lepas, sasaran 100 taman sekali lagi diatasi apabila 107 taman berjaya disiapkan.

“Dalam tempoh 24 bulan sahaja, sebanyak 216 Taman Rekreasi MADANI telah berjaya dibina di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan