JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tumpas Sindiket 'Iqbal' Seludup Migran Guna Laluan Haram

18/01/2026 11:44 AM

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dikenali sebagai ‘Iqbal’ dalam satu operasi khas semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi hasil risikan dan maklumat awam itu tertumpu di sebuah premis yang dijadikan ‘Rumah Penampungan’ bagi migran yang dibawa masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak sah.

Beliau berkata premis berkenaan terletak di lokasi terpencil di kawasan kampung yang sukar dikesan, bertujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan dijadikan markas transit bagi menempatkan migran yang baru menyeludup masuk.

“Hasil serbuan telah membawa kepada penahanan 12 warga Bangladesh terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 54 tahun.

“Turut ditahan, seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya berumur 27 tahun yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zakaria berkata siasatan awal mendapati kesemua migran berkenaan memasuki negara ini sejak tiga hari lepas melalui laluan darat yang tidak diwartakan (jalan tikus) di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata mereka ditempatkan di premis itu sementara menunggu baki bayaran kemasukan dilunaskan sebelum dihantar ke lokasi seterusnya.

“JIM kini sedang giat mengesan pemilik premis warga tempatan yang dipercayai bersekongkol dengan pihak sindiket dengan menyewakan serta membenarkan premisnya dijadikan pusat transit aktiviti penyeludupan migran,” katanya.

Beliau berkata individu berkenaan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

Zakaria berkata risikan lanjut mendapati sindiket itu aktif beroperasi sejak awal 2024 dan mempunyai rangkaian ejen pengatur di negara asal dengan dalang utama warga Bangladesh yang dikenali sebagai ‘Iqbal’ dan dipercayai beroperasi dari Thailand.

“Sindiket mengenakan bayaran antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu. Keuntungan keseluruhan yang diraih daripada aktiviti haram itu dianggarkan mencecah RM1.5 juta,” katanya.

Zakaria berkata operasi itu turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan Garis Panduan Kebangsaan mengenai Petunjuk Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0 dan JIM telah memulakan siasatan lanjut bagi meneliti kesalahan di bawah Akta 670.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan