SIBU, 18 Jan (Bernama) -- Seorang wanita warga emas Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang baru-baru ini selepas keluar mengambil sayur di belakang rumah panjang kediamannya di Berasok Baru, Pakan, kira-kira 21 kilometer dari Bintangor, ditemukan selamat hari ini selepas lima hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan Serian Luyoh, 67, ditemukan pada 10.13 pagi tadi di kawasan kira-kira 1.3 kilometer dari Rumah Ajai Sandin.
“Serian ditemukan dalam keadaan lemah dengan kesan luka pada bahagian kaki.
“Pasukan mencari dan menyelamat membuat tindakan awal memeriksa keadaannya dan seterusnya membawa balik ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat kemudian ditamatkan sepenuhnya pada 11.50 pagi.
Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Serian disedari pada 13 Jan lepas apabila seorang ahli keluarganya membuat laporan bahawa wanita itu masih belum pulang ke rumah selepas keluar mengambil sayur di belakang rumah panjang mereka pada 11 pagi.
JBPM Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 14 Jan, sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor digegaskan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 40 kilometer dari balai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial