JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Penolong Pegawai MARA Didakwa Pecah Amanah Wang Bayaran Pinjaman Lebih RM15,000

19/01/2026 02:44 PM

MUAR, 19 Jan (Bernama) -- Seorang bekas Penolong Pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 25 pertuduhan pecah amanah jenayah, melibatkan wang berjumlah RM15,839.66 milik empat individu berkaitan pembayaran pinjaman MARA.

Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang yang didepositkan ke dalam akaun miliknya bagi tujuan pembayaran pinjaman MARA di bawah beberapa skim pembiayaan, sebelum menyalahgunakan wang berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Empat individu terbabit ialah Hamidah Mohd Zain, 55, melibatkan wang berjumlah RM5,393; Muhammad Zakaria Rahmat, 41, (RM3,346.66); Mohd Izar Md Zan, 45, (RM4,100); dan Haslinda Hanapi, 46, (RM3,000).

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan wanita tersebut di pejabat MARA daerah Tangkak di sini antara Mac 2021 hingga November 2024, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameera Allaudeen tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan Nor Hasmal Hazwani diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan pada Isnin minggu pertama.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dengan alasan tidak bekerja, baru melahirkan anak serta menanggung suami yang menghidap penyakit jantung.

Hakim Mohd Khairi Haron membenarkan Nor Hasmal Hazwani diikat jamin sebanyak RM22,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan