EKONOMI

84 Peratus CEO Rancang Ceburi Bidang Di Luar Industri Tradisional -- Tinjauan PwC

20/01/2026 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kira-kira 84 peratus daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Malaysia merancang untuk mengembangkan operasi melangkaui sempadan industri tradisional mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan menyasarkan sektor bersebelahan dan bergerak pantas, kata Tinjauan CEO Global ke-29 PwC – Malaysia.

Antara lain, tinjauan tersebut menyatakan bahawa sektor yang bergerak pantas itu termasuk runcit (22 peratus), barangan perkhidmatan pengguna (16 tahun) dan teknologi (14 peratus). 

Sementara itu, bilangan syarikat Malaysia yang memasuki sektor baharu sepenuhnya telah melonjak kepada 76 peratus dalam tempoh lima tahun lepas, iaitu satu kenaikan ketara daripada 42 peratus pada 2025.

“Keinginan untuk meneroka semula ini diperkukuhkan oleh keberanian untuk mengadakan perjanjian, dengan 51 peratus merancang sekurang-kurangnya satu pengambilalihan utama dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Ini mengatasi purata Asia Pasifik (28 peratus) dan global (45 peratus), meskipun terdapat tinjauan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) global yang berhati-hati,” katanya. 

Bagaimanapun, hanya 33 peratus CEO di Malaysia yakin dengan pertumbuhan perolehan syarikat mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang, iaitu penurunan dua angka berbanding tahun lepas. 

Tinjauan itu mendapati kekurangan kemahiran (35 peratus), risiko siber (33 peratus) dan gangguan teknologi (33 peratus) merupakan kebimbangan utama bagi CEO di Malaysia. 

Sebaliknya, tekanan berkaitan perdagangan masih agak terkawal. Hanya 24 peratus melaporkan sangat terdedah kepada risiko tarif, satu angka yang hampir dengan purata Asia Pasifik. 

Mengenai kecerdasan buatan (AI), menurut tinjauan itu, 23 peratus CEO di Malaysia melaporkan bahawa AI telah memacu pendapatan tambahan sejak 12 bulan lepas, manakala 17 peratus menyaksikan penurunan kos. 

Bagaimanapun, 26 peratus berkata AI telah meningkatkan asas kos mereka. 

“2026 bakal menjadi tahun penentuan bagi AI. Sekumpulan kecil syarikat sudah pun menjadikan AI sebagai pengukur pulangan kewangan, manakala banyak lagi syarikat masih bergelut untuk di peringkat perintis.

“Jurang ini mula menunjukkan keyakinan dan daya saingnya - ia akan melebar dengan pantas bagi mereka yang tidak bertindak,” kata Pengerusi Global PwC Mohamed Kande. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan