Sudah dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Okt 2025, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 diharapkan dapat mengekang aktiviti merokok termasuk rokok elektronik atau vap dalam kalangan rakyat di negara ini, khususnya golongan bawah umur, dan seterusnya mewujudkan generasi penamat rokok.
Namun begitu, di sebalik larangan menjual, mengiklan dan mempromosi produk merokok kepada golongan bawah umur yang diperuntukkan di bawah Akta 852 itu, berlaku ledakan promosi tersusun secara senyap-senyap bagi menarik golongan berkenaan untuk “vaping” atau menghisap vap.
Bermodalkan perisa seperti gula-gula dan buah-buahan, kegiatan “vaping’ dikatakan kian meningkat dalam kalangan pelajar sekolah termasuk murid perempuan, dan puncanya kata pakar, disebabkan oleh kekurangan pengetahuan tentang rokok elektronik serta kesannya ke atas kesihatan.
“Ramai pelajar yang saya temui tidak tahu vap boleh membentuk ketagihan,” kongsi Dr Nizam Baharom daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Bernama baru-baru ini.
TIDAK SEDAR BAHAYA
Mengulas lanjut, pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM itu berkata beliau melakukan tinjauan di beberapa buah sekolah menengah berdekatan kampus universiti tersebut dan mendapati budaya “vaping” begitu menular dalam kalangan pelajar.
“Malah, di sebuah sekolah, saya dimaklumkan oleh guru ada pelajar perempuan yang jadi penjual vap. Kebanyakan pelajar yang saya temui tidak tahu realiti vap ini boleh menyebabkan ketagihan dan memudaratkan kesihatan.
“Oleh sebab perisa vap yang pelbagai dan kelihatan ‘harmless’, maka golongan ini berpandangan hisap vap ini tidak berbahaya dan mereka boleh berhenti pada bila-bila masa,” dedah beliau.
Menurutnya lagi, rata-rata pelajar juga tidak tahu vap mengandungi nikotin ataupun sedar akan kesan bahan itu kepada tubuh mereka memandangkan nikotin hanya dikaitkan dengan rokok konvensional.
“Cara mereka ini ditarik menjadi ‘vaper’ sama dengan situasi yang kita lihat pada generasi terdahulu ketika didedahkan kepada rokok, iaitu bermula dengan ketiadaan pengetahuan tentang nikotin dan bahaya bahan itu.
“Tertarik dengan pelbagai perisa - bukan macam rokok konvensional yang menggunakan tembakau - anak-anak muda ini teringin mencuba, dan dari situ ketagihan nikotin mula bertapak, proses kebergantungan (pada nikotin/vap) secara fisiologi dan psikologi bermula,” katanya.
Menurut beliau lagi, rata-rata penghisap vap hanya menumpukan pada perisa tanpa mengetahui mereka sebenarnya menghela dos nikotin yang tinggi ke dalam paru-paru.
"Bayangkan satu perisa sedap menerusi vap diambil berulang kali, yang tanpa sedar membuka ruang ketagihan kepada nikotin,” katanya.
TARIKAN
Berpendapat persekitaran sebagai antara punca utama penularan “vaping” dalam kalangan remaja, Dr Nizam berkata vap pada hari ini dipromosikan sebagai satu produk yang mengikut trend, mempunyai reka bentuk ala peranti yang serasi dengan cita rasa Generasi Z dan Alfa, di samping kepelbagaian perisa.
“(Di sebalik penguatkuasaan Akta 852) Akses kepada produk ini juga sangat mudah,” ujarnya, menambah sekalipun sekolah melarang kegiatan merokok dan menghisap vap, golongan terbabit terdedah kepada aktiviti itu di luar sekolah menerusi orang dewasa.
"Pelajar terdedah kepada promosi penggunaan vap melalui ‘influencer’ (pempengaruh) media sosial yang menggambarkan vap ini selamat dan tidak salah untuk mencuba. Dari segi fizikal pula mereka sendiri dapat melihat dan memiliki vap secara terus di kedai runcit,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pengaruh rakan sebaya turut memainkan peranan, khususnya dari segi menjadi sebahagian daripada trend yang kini bagaikan satu kemestian dalam kebanyakan orang muda.
Justeru katanya, jika penguatkuasaan undang-undang tidak diperhebat, tidak mustahil prevalens penggunaan vap dalam kalangan remaja akan meningkat.
"Mengikut statistik NHMS (Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi), pada 2017 kadar penggunaan vap dalam kalangan remaja adalah 9.8 peratus, melonjak kepada 14.9 peratus pada 2022. Ini adalah satu peningkatan yang hampir dua kali ganda dan sangat menakutkan. Saya yakin pada 2026 akan bertambah lagi," katanya.
Akta 852 memperuntukkan, antara lain larangan menjual produk merokok (termasuk vap) kepada kanak-kanak/remaja bawah umur, penjualan dalam bentuk mainan serta larangan iklan dan promosi yang dikuatkuasakan di bawah fasa satu, bermula 1 Okt 2024.
BAHAYA VAP
Dari segi kesihatan, Dr Nizam berkata pengambilan vap yang berterusan berisiko merosakkan paru-paru dan otak.
“Jika dulu nikotin didapati daripada daun tembakau yang telah diproses dan digulung menjadi rokok. Kini, bahan itu didapati dalam bentuk cecair yang dibuat secara sintetik. Ini memudahkan nikotin untuk lebih cepat memasuki saluran darah.
“Lebih-lebih lagi keperitan yang biasa dialami apabila menghela asap rokok tembakau kini tidak lagi dirasai apabila pengguna menghisap aerosol daripada vap,” katanya.
Beliau berkata bagi golongan bawah umur, bahayanya berganda kerana otak mereka masih dalam peringkat berkembang dan penggunaan vap berisiko merencatkan perkembangan itu.
“Perkembangan tumbesaran otak seseorang boleh berlaku hingga berusia 25 tahun. Jadi, apabila ketagihan nikotin mengganggu proses tumbesaran otak, boleh berlaku kesan buruk kepada potensi perkembangan intelektual, personaliti dan kesihatan otak secara umum,” jelasnya.
Bagi perokok yang “berhijrah” kepada vap dalam usaha berhenti merokok, Dr Nizam berkata terdapat banyak dokumentasi yang merekodkan perokok mengakui mereka lebih sukar untuk berhenti setelah terjebak dengan rokok elektronik.
"Oleh sebab itu vap sepatutnya menjadi bahan terlarang yang diharamkan di seluruh negara. Negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Brunei telah mengharamkan vap sejak dulu lagi. Bagi perokok yang ingin berhenti merokok disarankan agar berhenti merokok dengan bantuan profesional,” ujarnya.
Media sebelum ini memetik Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai berikrar untuk mengharamkan vap pada 2026.
ANCAMAN KESIHATAN MENTAL
Mengulas kesan terhadap mental, Pakar Psikiatri dan Pensyarah di Jabatan Psikiatri, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Hijaz Ridzwan berkata permasalahan vap dalam kalangan remaja kini menjadi fenomena sosial dan kesihatan awam yang semakin membimbangkan.
Tegasnya, jika dahulu perbincangan masyarakat lebih tertumpu pada bahaya rokok konvensional, hari ini negara menyaksikan peralihan budaya nikotin kepada penggunaan vap yang dianggap lebih “moden” dan kononnya lebih “selamat” namun realitinya jauh berbeza.
Dr Hijaz berkata terdapat laporan murid sekolah rendah juga mencuba vap, iaitu sesuatu yang jarang berlaku pada era rokok konvensional dan menandakan peralihan norma sosial yang serius.
"Vap merupakan peranti atau alat yang memanaskan cecair bagi menghasilkan wap untuk disedut ke dalam paru-paru. Cecair ini lazimnya mengandungi nikotin, bahan perisa dan kimia lain termasuklah dadah sintetik seperti ‘methamphetamine’.
"Walaupun sering dipromosikan sebagai lebih selamat berbanding rokok konvensional, vap kian terbukti membawa risiko lebih tinggi dari segi kesihatan, khususnya kepada golongan remaja kerana terlalu ‘attractive’ berbanding rokok," katanya.
Menurut Dr Hijaz, biarpun vap bukan satu-satunya punca masalah kesihatan mental, kajian menunjukkan hubungan yang konsisten antara penggunaan vap dengan peningkatan gejala kesihatan mental dalam kalangan remaja, terutamanya apabila digabungkan dengan tekanan akademik dan sosial.
"Dari segi kesan pengambilan vap terhadap perkembangan otak remaja, di usia ini otak mereka masih berkembang, belum matang sepenuhnya terutamanya bahagian yang mengawal emosi, impuls dan membuat keputusan.
“Pendedahan kepada nikotin boleh mengganggu perkembangan itu dan meningkatkan risiko masalah kawalan emosi, kebimbangan, kemurungan serta kecenderungan kepada tingkah laku berisiko," katanya, menambah nikotin boleh mencetuskan ketagihan buat golongan remaja kerana bahan itu mempunyai potensi ketagihan yang tinggi walaupun diambil dalam tempoh singkat.
"Kandungan nikotin dalam vap ada kalanya lebih tinggi daripada rokok biasa dan diserap dengan cepat ke otak. Remaja lebih terdedah kepada ketagihan kerana sistem ganjaran otak mereka lebih sensitif terhadap rasa keseronokan, menyebabkan keinginan berulang dan sukar berhenti," katanya,
Jelas pakar itu bagi sesetengah remaja, vap menjadi cara mengubati diri sendiri atau “self-medication” untuk mengatasi stres tetapi akhirnya memburukkan lagi masalah emosi.
"Nikotin turut mengganggu fungsi korteks prefrontal, bahagian otak yang penting untuk kawalan diri dan pertimbangan rasional. Akibatnya, remaja yang kerap menghisap vap lebih impulsif, mudah terpengaruh serta kurang mempertimbangkan kesan jangka panjang sesuatu tindakan yang dibuat," katanya.
RISIKO PENYALAHGUNAAN BAHAN TERLARANG
Bukan itu sahaja, Dr Hijaz berkata pengambilan vap boleh menjadi pintu kepada penyalahgunaan bahan terlarang lain seperti dadah.
"Isu vap bukan sekadar tentang nikotin. Ia membuka pintu baharu kepada bentuk penyalahgunaan dadah moden. Reka bentuk pod vap yang fleksibel memudahkan cecair diganti dengan pelbagai formulasi baharu termasuk dadah sintetik," katanya.
Pakar itu berkata banyak bahan psikoaktif terkini dimasukkan ke dalam cecair vap dan dijual secara terbuka seperti variasi baharu kanabinoid atau stimulans yang belum lagi dikawal di bawah undang-undang tempatan.
"Masalah ini menjadi lebih besar apabila bahan tersebut sukar dikesan melalui ujian air kencing rutin. Sebahagian besar dadah sintetik generasi baharu direka khas untuk mengelak dikesan oleh kit toksikologi sedia ada.
"Apabila vap dianggap normal, ia menurunkan batas psikologi remaja untuk mencuba bahan lain melalui saluran yang sama. Hal ini menjadikan vap bukan sekadar isu ketagihan nikotin tetapi juga “gateway” kepada krisis dadah generasi baharu," katanya.
Justeru katanya pendekatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan, merangkumi penguatkuasaan undang-undang, kawalan penjualan dan pemasaran, pendidikan kesihatan mental di sekolah, penglibatan ibu bapa serta akses kepada rawatan awal.
"Isu vap tidak boleh dilihat hanya sebagai isu disiplin tetapi isu kesihatan mental dan pembangunan generasi masa depan. Ia menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh. Dasar kawalan mesti diperketat dengan penguatkuasaan jualan kepada golongan bawah umur dan pemantauan iklan terselindung di media sosial.
"Pendidikan kesihatan pula perlu dimulakan sejak awal dengan kanak-kanak didedahkan kepada fakta sebenar risiko vap, termasuk kaitannya dengan dadah sintetik," tegasnya.
Selain itu, beliau mengesyorkan agar guru dan ibu bapa dilatih untuk mengenal pasti tanda awal pengguna vap dan memberikan sokongan emosi yang tepat.
"Pada masa yang sama makmal kesihatan awam harus diperkasa untuk mengesan trend bahan kimia baharu dalam cecair vap supaya undang-undang dapat dikemas kini dengan pantas. Intervensi komuniti juga sangat penting," katanya, menambah program mentor-mentee, kaunseling sekolah serta kempen kesedaran melalui saluran media sosial perlu digerakkan bagi menyaingi naratif glamor vap yang kini semakin mendominasi.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial