EKONOMI

Bursa Malaysia Terbit Penarafan Tadbir Urus Korporat Bagi PLC Di Platform MyBURSA

22/01/2026 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Penarafan Tadbir Urus Korporat (CG) yang dinilai secara bebas bagi Syarikat Senaraian Awam (PLC) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE kini diterbitkan di platform MyBURSA.

Bursa Malaysia Bhd menjelaskan penambahbaikan itu membolehkan pelabur dan peserta pasaran mengakses Penarafan CG bagi setiap PLC, sekali gus memperkukuh ketelusan pasaran dan melonjakkan daya tarikan syarikat Malaysia.

“Penarafan ini diperoleh daripada penilaian yang dijalankan oleh Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) atas kapasitinya sebagai Badan Penarafan Domestik (DRB) menggunakan metodologi Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS),” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Metodologi itu selaras dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi, (OECD) serta disokong oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF), yang membolehkan pelabur membandingkan standard tadbir urus di seluruh pasaran selaras dengan piawaian dan amalan terbaik antarabangsa.

Ketua Pegawai Kawal Selia Bursa Malaysia, Julian M. Hashim berkata pelabur kini boleh menilai standard tadbir urus PLC serta data utama lain, sekali gus membolehkan penilaian risiko yang lebih menyeluruh dan analisis nilai jangka masa panjang.

“Bagi PLC, keterlihatan Penarafan CG berfungsi sebagai penanda aras untuk penambahbaikan berterusan dan meningkatkan daya saing mereka dalam menarik modal domestik dan global.

“Dengan menyepadukan Penarafan CG dengan MyBURSA, seterusnya melengkapkan Penarafan ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) yang telah tersedia di platform tersebut, Bursa Malaysia menyasar untuk meningkatkan standard tadbir urus serta menggalakkan penambahbaikan berterusan dalam kalangan PLC.

“Langkah itu juga bertujuan meningkatkan daya tarikan pasaran modal Malaysia untuk pelabur melalui penyediaan maklumat yang menyeluruh, berguna untuk pelabur membuat keputusan dan boleh dibandingkan,” katanya.

Penilaian MSWG adalah berdasarkan maklumat yang didedahkan kepada umum, termasuk laporan tahunan, laporan tadbir urus korporat, laporan kemampanan serta maklumat berkaitan lain yang tersedia dalam domain awam.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan