KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives menamatkan rekod kenaikan tiga hari berturut-turut apabila ditutup rendah pada Khamis, sejajar dengan penurunan di pasaran emas COMEX Amerika Syarikat (AS).
Seorang peniaga berkata sentimen pasaran menjadi lemah apabila ketegangan geopolitik di Greenland kembali reda selepas Presiden AS Donald Trump menarik balik ancaman tarif baharu dan cadangan pemilikan pulau itu.
Menurut laporan, Trump berkata rangka kerja untuk perjanjian yang melibatkan Greenland dan rantau Artik yang lebih luas telah diwujudkan susulan pertemuannya dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Mark Rutte di Davos, Switzerland.
Beliau berkata pertemuan itu amat produktif, sambil menyatakan ia berpotensi membawa kepada satu penyelesaian yang sangat baik dan jika perjanjian itu dimuktamadkan, akan menjadi perjanjian yang menguntungkan AS dan semua negara NATO.
Pada penutupan dagangan, kontrak bulan semerta Januari 2026 susut kepada US$4,835.90 setiap auns troy daripada US$4,880.40 setiap auns troy pada Rabu, Februari 2026 turun kepada US$4,851.50 setiap auns troy daripada US$4,896.30 setiap auns troy semalam, manakala kontrak Mac 2026 merosot kepada US$4,870 setiap auns troy daripada US$4,914.80 setiap auns troy sebelum ini.
Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 turut mencatat penurunan, ditutup kepada US$4,887.80 setiap auns troy daripada US$4,932.60 setiap auns troy semalam.
Jumlah dagangan turut menyusut kepada 285 lot daripada 351 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 352 kontrak daripada 421 kontrak sebelum ini.
Harga emas fizikal berada pada US$4,860.75 setiap auns troy menurut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 21 Jan, 2026.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial