KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pempengaruh media sosial Caprice hari ini menjelaskan kos berjumlah RM8,000 serta bayaran tambahan RM320 kepada seorang ahli perniagaan dalam kes saman fitnah.
Pembayaran itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan writ penyitaan dan penjualan berikutan kegagalannya untuk mematuhi perintah mahkamah.
Peguam Muniandy Vestanathan yang mewakili ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan Datuk Seri R Jeyendran, mengesahkan bahawa Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, telah memasukkan jumlah penuh itu ke dalam akaun firma guamannya.
“Kami menerima jumlah keseluruhan RM8,320 daripada Caprice. Perintah Mahkamah bukan cadangan. Ia adalah perintah yang mengikat bagi memastikan keadilan, ketertiban dan pengurusan sistem perundangan yang betul. Tanggungjawab pihak terlibat ialah mematuhi Perintah Mahkamah,” katanya.
Pembayaran itu dibuat sehari selepas dua bailif mahkamah cuba melaksanakan writ berkenaan di kediaman Caprice di Mont Kiara.
Sebelum itu, pelaksanaannya tidak dapat dilakukan kerana tiada pihak yang membuka pintu selepas loceng dibunyikan beberapa kali, selain pengurusan pangsapuri memaklumkan defendan telah berpindah selepas tempoh penyewaannya tamat pada tahun lepas.
Writ penyitaan dan penjualan bertarikh 3 Dis 2025 dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Qasiratul Jannah Usmani Othman terhadap Caprice, susulan perintah yang diperoleh Jeyenderan.
Pada 15 Okt tahun lepas, Hakim Mahkamah tinggi Roslan Mat Nor membenarkan permohonan Jeyenderan untuk mendapatkan injunksi inter-parte dalam saman fitnah terhadap Caprice dan memerintahkan pempengaruh itu membayar RM8,000 sebagai kos dalam tempoh dua minggu.
Bagaimanapun, Caprice gagal menjelaskan bayaran tersebut.
Jeyenderan memfailkan sama itu pada 21 Julai tahun lepas, mendakwa defendan memuat naik beberapa hantaran Instagram pada 10 Julai tahun sama termasuk gambar serta video yang didakwa mengaitkan dirinya dengan beberapa aktivit jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sahih.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta bagi kerosakan reputasi, ganti rugi khas, am dan teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial