KOTA BHARU, 24 Jan (Bernama) -- Amalan mengesahkan keluar dan masuk negara secara tidak teratur di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) disifatkan sebagai pelanggaran serius Prosedur Operasi Standard (SOP).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata kesalahan berkenaan bukan isu pentadbiran kecil, sebaliknya boleh mengundang risiko kepada sistem kawalan sempadan sekiranya dibiarkan tanpa tindakan tegas.
“Berdasarkan rekod bagi tahun 2025, sebanyak 92 pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk dan keluar negara telah dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati melakukan kesalahan melibatkan memberikan endorsement atau cap imigresen secara tidak teratur,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, imigresen menekankan pendekatan sifar toleransi terhadap sebarang bentuk kompromi dalam pelaksanaan tugas di pintu masuk negara, khususnya di kompleks ICQS yang dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi.
“Selain tindakan tatatertib, imigresen turut memperkukuh pemantauan integriti menerusi pelaksanaan pemeriksaan mengejut, penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) 24 jam serta penambahbaikan sistem kawalan berasaskan teknologi bagi memastikan pematuhan SOP dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Diminta mengulas mengenai tahap keselamatan semasa di kompleks ICQS di Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand, Zakaria berkata ia stabil dan terkawal melalui pendekatan pengurusan sempadan yang moden.
Beliau berkata walaupun Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan (AKPS) telah mengambil alih tugas kawalan di pintu masuk, imigresen kekal sebagai agensi penting dalam menguruskan 10 aspek imigresen.
Mengulas mengenai ancaman utama yang dikenal pasti di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand, Zakaria berkata antaranya adalah seperti pemalsuan identiti dan penyalahgunaan dokumen sempadan.
“Bagi menangani perkara ini, sistem NIISe (National Integrated Immigration System) digunakan untuk menganalisis data pelawat dan pelancong secara mendalam dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Zakaria berkata sistem NIISe direka dengan keupayaan untuk berintegrasi secara bersepadu dengan pelbagai pangkalan data keselamatan nasional dan antarabangsa, termasuk Interpol (Notis Pangkalan Data 12 Global).
Melalui integrasi itu, imigresen dapat menjalankan analisis risiko keselamatan secara menyeluruh dan berkesan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual sepenuhnya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya memperkukuh kerjasama melalui integrasi sistem dengan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk pengesahan pasport serta perkongsian data keselamatan lain seperti Dokumen Perjalanan Hilang atau Dicuri (SLTD).
“Kerjasama teknikal ini memastikan pengembara dari Thailand atau negara lain melalui proses tapisan yang ketat mengikut standard global,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial