KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Simposium Beyond Insights 2026 menghimpunkan pemimpin teknologi global, perintis teknologi kewangan (fintech) dan ahli strategi pasaran untuk mengkaji bagaimana trend mega yang berkembang pesat sedang mencorakkan semula pasaran.
Edisi ketiga simposium yang diadakan awal bulan ini turut mengupas mengapa pelabur perlu melangkaui naratif yang dipengaruhi oleh tajuk utama berita untuk mencapai hasil pelaburan yang mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif Beyond Insights Terence Teoh dalam kenyataan hari ini berkata pasaran tidak memberikan pulangan kepada mereka yang mengenal pasti sesuatu trend lebih awal.
Beliau berkata sebaliknya pasaran memberikan pulangan kepada mereka yang tahu bertindak terhadap trend itu secara berterusan.
"Ramai pelabur dibanjiri maklumat, melompat daripada satu naratif ke naratif yang lain. Peranan kami adalah untuk membantu orang ramai menapis maklumat mengelirukan, memahami konteks dan mengamalkan disiplin kerana tanpa kerangka kerja, trend mega terbesar sekalipun akan cepat berubah menjadi sekadar trend hangat yang sementara," katanya.
Program ini mengkaji lapan trend mega global, dengan tumpuan khusus kepada tiga trend yang telah mempunyai impak segera dan berstruktur terhadap pasaran; kecerdasan buatan (AI), data raya dan masyarakat tanpa tunai serta fintech.
Ia turut menekankan bidang seperti kenderaan autonomi, jalur lebar generasi akan datang serta perkembangan peringkat awal dalam robotik, bioteknologi, virtualisasi dan sektor angkasa lepas dan pertahanan.
Selain itu, simposium berkenaan mengkaji lapan kuasa makro utama yang mencorak semula pasaran global, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), implikasi pilihan raya pertengahan penggal AS yang akan datang, kesan tarif dan sekatan, kebimbangan mengenai kemampanan hutang AS, perubahan demografi global, perdebatan mengenai kestabilan mata wang rizab dan kesan rangsangan fiskal AS yang berterusan.
Simposium itu turut membincangkan jurang yang semakin meningkat dalam landskap pelaburan runcit.
Pengasas dan Ketua Jurulatih Beyond Insights Kathlyn Toh berkata simposium itu mendidik pelabur untuk menganalisis pasaran menggunakan rangka kerja 40-30-30: kuasa makro, dinamik industri dan syarikat individu.
"Apabila ketiga-tiga perkara ini seiring, keputusan menjadi lebih jelas dan emosi memainkan peranan yang lebih kecil. Keadaan ini pada akhirnya melindungi orang ramai dalam tempoh ketidakpastian dan membolehkan mereka kekal yakin," katanya.
Simposium yang diadakan pada 11 Jan 2026 di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia menarik kehadiran seramai 825 peserta, dengan 435 hadir secara bersemuka dan 465 menyertai program itu secara dalam talian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial