JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai Kanan TLDM, Pengarah Syarikat Direman Bantu Siasatan Rasuah

24/01/2026 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) direman kerana disyaki terlibat rasuah dengan mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja di tempat beliau bertugas.

Turut ditahan reman, seorang pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dan bersubahat dalam aktiviti rasuah berkenaan.

 Perintah reman selama tujuh hari hingga 29 Jan terhadap kedua-dua individu berkenaan dikeluarkan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Tinggi Ipoh pagi tadi.

Sumber memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu ditahan kira-kira 6.50 petang dan 9.40 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak, di Ipoh.

“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan berkenaan sejak 2017 hingga 2020.

“Siasatan awal turut mendapati pegawai kanan TLDM itu disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga rumah kedai dan dua hotel yang didaftarkan atas nama beliau,” katanya.

Sumber juga memaklumkan, siasatan mendapati terdapat kemasukan sejumlah wang dari sumber yang diragui bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan