KINABATANGAN, 24 Jan (Bernama) -- Dua pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan ditutup pada 12 tengah hari ini.
Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah kepada Bernama.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bagi notis di bawah Subperaturan 11(5) Waktu Mengundi bagi PRK Parlimen Kinabatangan, dua pusat mengundi itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad di Tongod yang mempunyai dua saluran, dan SK Sri Ganda di Litang, yang mengandungi satu saluran.
Sebelum ini, sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak pada 7.30 pagi ini.
Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga 5.30 petang ini dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 34 pusat mengundi lagi akan ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.
Menurut SPR, proses pengundian hari ini melibatkan 48,282 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen Kinabatangan.
Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial