JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Warga Emas Maut Dalam Kebakaran Rumah Di Kota Bharu

25/01/2026 09:39 PM

KOTA BHARU, 25 Jan (Bernama) -- Seorang wanita warga emas berusia 89 tahun maut selepas kediamannya musnah hampir sepenuhnya dalam satu kebakaran berhampiran Jalan Tok Guru, di sini petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu Satyuti Satar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem NG999 pada 5.58 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata jentera bomba tiba pada 6.01 petang dengan kekuatan 27 anggota dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis sementara berkeluasan kira 5x5 meter persegi dengan kemusnahan dianggarkan 98 peratus.

“Kebakaran itu mengakibatkan seorang mangsa perempuan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Satyuti berkata pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada balai bomba berhampiran bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dengan segera.

Beliau berkata punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang saksi Anis Sutrliati Mohamad, 46, berkata ketika kejadian dia bersama sepupunya sedang minum petang di rumah yang terletak kira-kira 20 meter dari kediaman warga emas tersebut.

Beliau berkata terdengar bunyi seakan-akan objek jatuh sebelum melihat mangsa melambai tangan sambil menjerit meminta pertolongan.

“Api sedang marak ketika itu dan saya ternampak mangsa terjatuh ke bahagian bawah rumah. Saya tidak dapat membantu kerana haba terlalu panas dan terus menghubungi pihak bomba,” katanya yang telah lama mengenali mangsa.

 Anis berkata warga emas tersebut sudah uzur serta mengalami kesukaran untuk berjalan dan melihat dengan jelas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan