BERA, 26 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki dan merampas 112 pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM400,000 dalam serbuan di sebuah bangunan di Jalan Highway, Triang di sini, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Bera Superintenden Zulkiflee Nazir berkata serbuan kira-kira 6 petang dilakukan hasil risikan penjualan mercun secara haram dengan suspek berusia 54 tahun dipercayai pemilik dan penjaga mercun itu
“Mercun itu dipercayai diimport dari China dan disimpan tanpa sebarang lesen sah bagi tujuan pemilikan atau penjualan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di sini hari ini.
Zulkiflee berkata mercun itu dipercayai untuk dijual menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan perayaan lain memandangkan stok tersebut dibawa masuk lebih awal.
“Mercun dirampas kategori bernilai tinggi dan jarang dilihat dalam pasaran tempatan, sekali gus menunjukkan sasaran pembeli terdiri daripada golongan berpendapatan tinggi,” katanya.
Zulkiflee berkata suspek ditahan reman tiga hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah meluluskan kira-kira 30 lesen penjualan mercun sempena musim perayaan.
“Setiap permohonan lesen akan dinilai dari segi kesesuaian lokasi, keselamatan dan jarak dengan kawasan penempatan dengan premis tidak memenuhi syarat tidak akan diluluskan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak menjalankan aktiviti penjualan mercun tanpa lesen dan polis akan mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di daerah itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial