KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti untuk mewajibkan pemandu khususnya yang mempunyai rekod kesalahan atau lesen digantung untuk mengikuti kursus pemanduan defensif.
Menteri berkenaan Anthony Loke berkata kementerian meneliti penambahbaikan kurikulum sedia ada dengan tumpuan terhadap aspek kemahiran sebenar serta teknik mengelak kemalangan berbanding hanya fokus untuk lulus ujian lesen semata-mata.
"Ini satu pendekatan baharu yang kita nak bawa supaya nak wajibkan ataupun nak menggalakkan mereka (pemandu) yang ada kes-kes lesen digantung dan sebagainya. Kita nak mereka untuk balik kepada kursus pemanduan defensif ataupun mengambil kursus bagaimana memandu dengan lebih berhemah dan mengelak daripada kemalangan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai cadangan semakan semula kurikulum latihan ujian lesen motosikal pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Loke berkata Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pendidikan bersetuju melaksanakan intervensi lebih bersasar terutama dalam kalangan pelajar sekolah yang menunggang motosikal ke sekolah hasil Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya pada 20 Jan lepas.
Beliau juga berkata Program MyLESEN B2 yang menawarkan latihan percuma kepada golongan B40 secara am sebelum ini akan disasarkan kepada sekolah menengah bagi memastikan pelajar yang menunggang motosikal mendapat latihan formal dan berstruktur, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan akibat kurang pengalaman dan latihan menunggang.
"Selain itu, MOT yang sebelum ini memperuntukkan pertukaran topi keledar percuma juga akan menyusun semula program ini untuk menyasarkan pelajar-pelajar sekolah yang menunggang motosikal.
"MOT juga melaksanakan inisiatif Zon Sekolah Selamat yang menyokong dasar had laju 30 kilometer sejam di kawasan sekolah melalui penambahbaikan infrastruktur keselamatan seperti papan tanda had laju dan pelapor jalan raya serta reka bentuk jalan yang memperlahankan kelajuan kenderaan di depan sekolah," katanya.
Loke berkata penunggang motosikal mencatatkan 66.4 peratus jumlah mangsa kemalangan maut pada tahun lepas dengan kumpulan umur 16 hingga 30 tahun menjadi mangsa utama.
Beliau berkata berdasarkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), antara faktor utama kemalangan jalan raya terutama melibatkan motosikal adalah tingkah laku berisiko, interaksi trafik bercampur antara kenderaan berat dan motosikal, kurang kemahiran menunggang secara selamat serta tahap kesedaran keselamatan rendah.
Loke menjawab soalan asal Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai punca utama peningkatan kemalangan jalan raya di Malaysia terutamanya melibatkan penunggang motosikal dan langkah yang diambil untuk menangani masalah itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial