KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Program International Tourism, Art and Culture 2026 (INTAC 2026) yang bakal berlangsung dari 10 hingga 12 Julai depan dijangka menjadi medium pertukaran budaya, membuka peluang perniagaan serta meletakkan Malaysia sebagai hab global industri kreatif dan budaya.
Acara bertemakan “Bridging Cultures, Inspiring Trade” anjuran WEX Malaysia Sdn Bhd itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dan merupakan platform antarabangsa utama negara yang memberi fokus kepada pelancongan, seni dan budaya.
Ketua Pegawai Eksekutif WEX Malaysia Sdn Bhd Dr Leena Al-Mujaheed berkata INTAC 2026 selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) kerana ia menghimpunkan pemimpin industri, pencipta kreatif, institusi budaya serta pihak berkepentingan antarabangsa.
“INTAC 2026 bukan sekadar mengenai skala, angka atau pameran. Ia berkaitan dengan penciptaan nilai jangka panjang, pemupukan hubungan antara kerajaan dan perniagaan, antara penggiat kreatif dan pelabur, serta antara budaya dan pasaran.
“Ia mengenai pembentukan sebuah ekosistem apabila inovasi, kreativiti dan perdagangan berkembang bersama,” katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran INTAC 2026 yang dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man di sini, hari ini.
Sementara itu, Chiew berharap semua pemain industri utama dalam bidang pelancongan, hospitaliti, seni dan budaya serta industri kreatif mengambil peluang dan terlibat secara aktif dalam INTAC 2026.
“INTAC 2026 dijangka menerima kehadiran peserta dari 50 negara, menampilkan lebih 400 pempamer dan menarik kira-kira 50,000 pengunjung tempatan serta antarabangsa. Ini meletakkan INTAC sebagai platform global strategik yang sebenar dalam mempamerkan destinasi, inovasi dan kecemerlangan industri.
“Penglibatan anda bukan sahaja akan mengukuhkan acara ini, malah turut mewujudkan rangkaian perniagaan bernilai, kerjasama strategik serta pendedahan jenama di peringkat antarabangsa. Kerajaan tetap komited untuk menyokong inisiatif yang memupuk perkongsian awam-swasta, mengukuhkan ekosistem industri dan menjana impak ekonomi jangka panjang,” katanya.
Pada majlis itu, WEX Malaysia Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat UHLED, dengan disaksikan Chiew.
Penganjuran acara yang disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia itu menampilkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi termasuk pameran kesenian, persidangan pelancongan, peragaan fesyen, Majlis Gala INTAC 2026, lelongan artifak Islam serta Fun Run and Ride.
Sebagai sebahagian daripada kempen TMM 2026, INTAC 2026 memainkan peranan strategik dalam menyokong usaha negara mempromosikan pelancongan, warisan budaya dan industri kreatif Malaysia di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial