AM

Sultan Selangor Zahir Kebimbangan Budaya Fitnah, Sebar Tohmahan

28/01/2026 12:50 PM

SHAH ALAM, 28 Jan (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap budaya fitnah-memfitnah dan penyebaran tohmahan, khususnya melalui media sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Baginda bertitah perbuatan tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi merosakkan ukhuwah serta perpaduan umat Islam.

“Janganlah ada dalam kalangan anda yang gemar menyebarkan berita tidak benar, memutarbelitkan fakta atau membesar-besarkan perkara kecil sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat. 

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tersilap langkah boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat,” titah baginda pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir-Nazir dan Imam-Imam Masjid melibatkan 850 orang di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang. 

Sehubungan itu, baginda mengingatkan semua nazir serta ahli jawatankuasa masjid dan surau agar tidak mudah mempercayai berita palsu dan menyemak kesahihan fakta sebelum menyebarkannya kerana dosa memfitnah adalah lebih besar daripada membunuh.

“Ketahuilah bahawa Beta sentiasa mengikuti perkembangan dan mengetahui apa yang berlaku di masjid dan surau di negeri ini dan Beta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya perlu,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menyeru imam masjid dan surau supaya tidak hanya mendalami ilmu agama, malah memiliki keupayaan mengurus dan mentadbir masjid dengan baik.

Baginda bertitah imam hendaklah berperanan sebagai pemimpin masyarakat, pendamai dalam perselisihan serta penggerak kepada perpaduan dalam kalangan ahli kariah, selain mengamalkan semangat kesatuan, saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira latar belakang jemaah.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menekankan kepentingan imam dan nazir menjaga watak peribadi, akhlak serta imej diri yang baik kerana mereka merupakan cerminan kepada institusi masjid.

“Jagalah nama baik masjid dan surau serta elakkan sebarang perbuatan yang boleh mencemarkan maruah dan kepercayaan masyarakat. 

“Janganlah disebabkan kesalahan seorang individu, keseluruhan institusi masjid dipandang serong umpama peribahasa Melayu, ‘kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit’,” titah baginda. 

Sementara itu, Sultan Selangor menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menerima lebih 100,000 pelawat sepanjang tahun lepas.

Baginda bertitah kejayaan itu membuktikan masjid bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah dan dakwah, malah mampu menjadi destinasi pelancongan Islam termasuk kepada pelancong bukan Islam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan