DUNIA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Ekoran Pengambilan Untung

28/01/2026 02:06 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran penurunan dan mengakhiri dagangan sesi pagi dengan prestasi rendah pada Rabu berikutan aktiviti pengambilan untung berterusan ke atas kaunter mewah terpilih didahului saham perkhidmatan kewangan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.7 peratus atau 12.41 mata kepada 1,758.84 daripada 1,771.25 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 1.46 mata lebih rendah kepada 1,769.79 sebelum bergerak antara 1,756.46 hingga 1,769.90 sepanjang sesi dagangan pagi.

Keseluruhan pasaran adalah hambar dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 769 berbanding 330, manakala 483 kaunter tidak berubah, 1,167 kaunter tidak diniagakan dan 94 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.13 bilion unit bernilai RM2.12 bilion.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pelabur berehat seketika daripada aktiviti dagangan bagi jangka masa pendek selepas indeks melepasi paras 1,760 baru-baru ini termasuk paras rintangan taktikal jangka terdekat.

“Walaupun ada pihak yang menngatakan perlu untuk memantau pengumuman akan datang oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) namun, penurunan yang dialami pasaran ini sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung.

“Kebanyakan pasaran Asia juga mencatatkan penurunan namun, kalangan indeks Asia telah mengatasi prestasi AS setakat Januari ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata aliran masuk dana asing kekal positif, menandakan kelemahan pasaran hanyalah bersifat sementara.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM11.78, IHH Healthcare menokok 17 sen kepada RM8.88, Public Bank susut lima sen kepada RM4.95, CIMB merosot 20 sen kepada RM8.75 dan Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM14.10.

Saham paling aktif, ISF Group meningkat 15.5 sen kepada 48.5 sen, Zetrix AI naik setengah sen kepada 82.5 sen dan Tanco Holdings menambah satu sen kepada RM1.34, manakala Velesto Energy turun 1.5 sen kepada 30 sen.

Bagi saham paling untung, Dutch Lady Milk Industries melonjak 70 sen kepada RM33.72, Kuala Lumpur Kepong meningkat 24 sen kepada RM20.06, Allianz Malaysia menambah 22 sen kepada RM23.22 dan Country View menokok 18 sen kepada RM3.14.

Saham paling rugi, Nestle merosot RM1.00 kepada RM114.60, Malaysian Pacific Industries susut 46 sen kepada RM32.76, Fraser & Neave Holdings turun 30 sen kepada RM35.70 dan United Plantations menguncup 28 sen kepada RM30.50.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 turun 89.07 mata kepada 12,675.01, Indeks FBM Emas susut 93.15 mata kepada 12,861.55, Indeks FBM Mid 70 merosot 122.07 mata kepada 17,592.00, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 85.02 mata kepada 12,403.19, dan Indeks FBM ACE turun 74.54 mata kepada 4,761.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 129.26 mata kepada 21,584.40, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.74 mata kepada 178.19, Indeks Tenaga kurang 13.60 mata kepada 754.91 dan Indeks Perladangan susut 13.38 mata kepada 8,424.68.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan