SEPANG, 28 Jan (Bernama) -- Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai “Geng Captain Praba”.
C. Navindren Raj, 38, S. Sridharan, 30 dan S. Pratifkumar, 30, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman kerana kes melibatkan jenayah terancang tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jenjarom, Kuala Langat antara Disember 2023 hingga 11 Sept 2025 mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim, V V Suloshani dan Lina Hanini Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Sean Dudley.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin dan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, tiga lelaki itu yang juga suspek utama Ops Jack Sparrow ditahan di Mumbai, India pada Ahad sebelum tiba di sini pagi ini.
Pada 11 Sept lepas, pihak polis menjalankan operasi bersepadu di beberapa negeri yang dikenali sebagai Ops Jack Sparrow ke atas kumpulan jenayah terancang itu yang mempunyai 33 ahli, dengan individu yang digelar “Kapten Praba” dikenal pasti sebagai ketua kumpulan.
Mereka dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan, termasuk pembunuhan, serangan menggunakan senjata berbahaya, samun berkumpulan serta kes khianat dengan api.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial